zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: PAS menyifatkan ‘ribut’ peletakan jawatan yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) sejak beberapa hari lalu, membabitkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa Pengerusi PN negeri tidak sebesar yang dijangka.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata situasi berkenaan tidak berlaku, baik di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ramai lagi Pengerusi PN peringkat negeri dan kawasan yang masih menggalas mandat, menunggu arahan kerja dari Pengerusi PN yang baharu.
“Insya Allah, PN akan terus mara ke depan dengan semangat baharu,” kata beliau dalam Facebooknya, hari ini.
Kelmarin, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN selepas lima tahun menerajui gabungan itu, berikutan krisis politik yang berlaku di Perlis.
Susulan tindakan itu, empat pemimpin kanan PN turut mengumumkan peletakan jawatan mereka, termasuk Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Pengerusi PN Selangor.
Selain itu, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker; Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beberapa pemerhati politik melihat, PN berisiko untuk berpecah, sama ada secara rasmi atau melalui pelemahan kerjasama di peringkat negeri, terutama jika PAS merasakan kedudukannya lebih menguntungkan di luar PN atau BERSATU memilih untuk mengambil jarak daripada dominasi PAS.
Pengunduran Muhyiddin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa hari ini, bukan penyelesaian sebenar kepada krisis dalaman PN, sebaliknya lebih bersifat kawalan kerosakan (damage control).
Tindakan Muhyiddin dilihat mungkin meredakan ketegangan untuk jangka pendek tetapi tidak menyentuh akar permasalahan sebenar, iaitu kegagalan struktur PN untuk mengurus perbezaan kepentingan antara PAS dan BERSATU.
end
From: zana
© New Straits Times Press (M) Bhd




