hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Prinsip akauntabiliti ‘tanpa kompromi’ mesti menjadi tunjang utama susulan siasatan berprofil tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Panglima Tentera Darat (PTD) berhubung isu tatakelola perolehan dan pengurusan tender.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim menegaskan bahawa tiada mana-mana individu, termasuk pemegang jawatan tertinggi negara, yang mempunyai kekebalan daripada undang-undang.
Menurutnya, pendirian tegas itu selari dengan prinsip tadbir urus baik (good governance) yang menuntut pertanggungjawaban penuh daripada setiap lapisan kepimpinan.
Mengulas mengenai tindakan pentadbiran merehatkan sementara PTD daripada tugas rasmi, Jais menyifatkan ia sebagai langkah tepat bagi menjamin integriti siasatan.
“MCW menyokong penuh tindakan SPRM membuka kertas siasatan secara rasmi. Langkah pentadbiran untuk merehatkan sementara PTD sebelum ini adalah kritikal bagi memberi laluan kepada siasatan yang telus, bebas dan tanpa sebarang konflik kepentingan.
“Langkah ini bukan satu bentuk hukuman, sebaliknya ia adalah prosedur operasi standard (SOP) dalam tadbir urus yang wajar bagi memastikan nama baik institusi terpelihara dan siasatan dapat dijalankan secara profesional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, MCW turut mengingatkan bahawa prinsip keadilan asasi mesti dihormati, di mana setiap individu berhak mendapat proses sewajarnya (due process) dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.
Dalam pada itu, Jais memberi amaran agar semua pihak mengelakkan pendekatan sensasi atau melakukan ‘perbicaraan melalui media sosial’ yang boleh mencemarkan reputasi individu serta imej angkatan tentera sebelum siasatan selesai.
“Institusi keselamatan negara merupakan benteng strategik kedaulatan tanah air. Sebarang dakwaan salah laku melibatkan kepimpinan tertinggi perlu ditangani secara berfakta dan berlandaskan undang-undang, bukan persepsi,” katanya.
Melihat kepada konteks yang lebih luas, MCW mendesak agar insiden itu dijadikan titik tolak kepada pembaharuan sistemik atau ‘overhaul’ terhadap tadbir urus perolehan sektor pertahanan negara.
Jais menjelaskan, memandangkan bidang pertahanan membabitkan dana awam yang besar dan berisiko tinggi, piawaian integriti yang lebih ketat diperlukan.
“Penambahbaikan mesti memberi tumpuan kepada ketelusan proses perolehan, pengukuhan mekanisme semak dan imbang dalaman, serta pemantauan bebas terhadap projek bernilai tinggi bagi mencegah ketirisan,” katanya.
Pada 27 Disember lalu, media melaporkan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan kertas siasatan dibuka megikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, dengan fokus kepada projek yang dilaksanakan melalui tender terbuka dan perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat sejak 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd



