am@hmetro.com.my
Sintok: Prihatin terhadap peningkatan kos sara hidup dan tekanan ekonomi yang semakin mencabar, Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkenalkan Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek UUM bagi membantu penuntut yang memerlukan.
Naib Canselor, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, Foodbank yang disediakan dalam kampus sebelum ini tidak mencukupi untuk diletakkan di semua Inapan Siswa (Inasis), selain ada segelintir penuntut yang malu untuk mengambilnya.
“UUM kini menggunakan kumpulan sasaran untuk memberi bantuan secara terus kepada penuntut yang memerlukan melalui Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek UUM ini.
“Kita menggunakan amalan yang sudah dilaksanakan oleh universiti lain seperti Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menggunakan program retort ini.
“Pengetua Inasis juga sudah ke universiti berkenaan untuk melihat kaedah proses itu dilaksanakan, kita mahu tunjuk komitmen yang tidak berbelah bahagi dengan memastikan semua terbabit dan tiada terkecuali dari atasan sampai ke bawah termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sendiri,” katanya ketika melancarkan Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek UUM di Inasis Proton, di sini hari ini.
Ahmad Martadha berkata pihaknya berharap selepas ini tiada lagi pihak yang memperlekehkan isu kebajikan penuntut, selain meminta pentadbiran menyelesaikan semua permohonan bantuan dengan segera tanpa sebarang penangguhan.
Katanya, sebagai pentadbir universiti, setiap pihak perlu memainkan peranan yang diamanahkan kerana tiada pihak lain yang lebih bertanggungjawab menjaga kebajikan penuntut selain universiti itu sendiri.
“Menjelang 2026, saya mahu komitmen penuh semua pihak supaya penuntut yang memerlukan diberi perhatian serta tindakan sewajarnya.
“Jika mereka tidak tampil mendapatkan bantuan, kitalah yang perlu turun padang mencari dan membantu mereka.
“Amalan turun padang ini perlu menjadi budaya dalam pentadbiran universiti tanpa mengira latar belakang atau pangkat.
“Ini tanggungjawab bersama yang perlu dipikul dengan penuh amanah, justeru inovasi seperti ini wajar diteruskan bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




