Kuala Lumpur: Proses mendapatkan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bagi membolehkan pemandu Orang Kurang Upaya (OKU) menawarkan perkhidmatan membawa penumpang (e-hailing), dikawal sepenuhnya oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab memaklumkan proses itu membabitkan pemeriksaan perubatan wajib, latihan bertauliah, pemeriksaan kenderaan, pendaftaran JPJ dan penyerahan dokumen.
“Bagi ramai pemohon OKU, proses ini amat mencabar. Pemeriksaan perubatan boleh menjadi halangan kerana mereka yang tidak memenuhi garis panduan yang ditetapkan tidak boleh memperoleh lesen PSV.
“Pemeriksaan kenderaan juga boleh menjadi sukar kerana pengubahsuaian kereta yang diperlukan untuk menyokong keperluan mereka tidak semestinya selaras dengan peraturan sedia ada.
“Setiap peringkat membabitkan pelbagai pihak berkepentingan dengan garis masa dan kekangan masing-masing, menjadikan proses ini lebih kompleks bagi rakan OKU,” kata kepada Harian Metro.
Susulan 15 ahli Persatuan Pemandu E-Hailing OKU Fizikal Malaysia (PPEOFM) pemegang lesen kelas A1 meluahkan kerisauan terhadap tempoh menunggu lesen yang didakwa memakan masa sehingga empat tahun.
Justeru, mereka berharap permohonan lesen PSV diluluskan segera supaya dapat menjadi pemandu e-hailing yang sah dan menyara keluarga masing-masing.
Mengulas lanjut, Grab berkata, sejak peraturan lesen PSV dikuatkuasakan kepada pemandu e-hailing di Malaysia pada Julai 2019, Grab mengambil inisiatif untuk membantu semua rakan pemandu termasuk OKU mengharungi proses mendapatkan lesen berkenaan.
“Menyedari kerumitan dan kos proses wajib ini, Grab turut memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakan pemandu termasuk mensubsidi latihan PSV, pemeriksaan perubatan dan yuran pelesenan.
“Selain itu, Grab mengakreditasi pusat latihan kami bagi memudahkan rakan pemandu melengkapkan latihan wajib selama enam jam.
“Kami bekerjasama dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) lanjut waktu pemeriksaan kenderaan dan melancarkan insurans harian pertama dalam industri bagi kurang kos permulaan,” katanya.
Grab berkata, pembabitan berterusan pihaknya bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) sudah membawa kepada beberapa langkah penting untuk meningkatkan aksesibiliti golongan OKU menjadi pemandu e-hailing.
© New Straits Times Press (M) Bhd



