JPJ Terengganu sita 29 kenderaan dalam Ops Khas Perang Lebih Muatan sejak September

JPJ Terengganu sita 29 kenderaan dalam Ops Khas Perang Lebih Muatan sejak September

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu memeriksa sebanyak 22,754 kenderaan sepanjang pelaksanaan Ops Khas Perang Lebih Muatan bermula September hingga Disember lalu dengan 2,682 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan berisiko tinggi.

Pengarah JPJ Terengganu Zamri Samion berkata, daripada jumlah kenderaan yang diperiksa itu sebanyak 2,660 membabitkan kenderaan perdagangan barangan (KPB) dan 22 lagi kenderaan perkhidmatan awam (KPA) dengan 5,676 kesalahan direkodkan, manakala 29 kenderaan disita.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 21,326 KPB dan 1,428 KPA diperiksa dan mengeluarkan saman dan notis sebanyak 9,010 membabitkan 4,595 saman P22 serta 4,447 notis kesalahan lain,” katanya ketika sidang media penutup operasi khas itu petang semalam.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan susulan beberapa insiden kemalangan serius membabitkan kenderaan perdagangan yang berpunca daripada lebih muatan, ketidakpatuhan teknikal kenderaan serta kegagalan mematuhi peraturan ditetapkan.

Menurutnya, penguatkuasaan itu bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya bagi mencegah kemalangan, melindungi nyawa pengguna jalan raya dan memastikan kenderaan perdagangan berada pada tahap selamat sebelum berada di jalan raya.

Zamri berkata, walaupun tahap pematuhan secara keseluruhan adalah tinggi, angka berkenaan menunjukkan masih terdapat kenderaan di jalan raya berada pada tahap risiko keselamatan yang tidak boleh dikompromi, justeru tindakan tegas perlu diambil bagi mengelak tragedi.

Mengulas fokus penguatkuasaan, beliau berkata, JPJ Terengganu memberi tumpuan terhadap kesalahan lebih muatan, kesalahan teknikal kenderaan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, perlindungan insurans tamat tempoh serta pengesahan dokumentasi dan slip SLD.

Sementara itu, beliau berkata, keberkesanan pendekatan penguatkuasaan berfokus risiko itu turut dapat dilihat melalui penurunan ketara kemalangan dan kematian dalam beberapa operasi khas.

“Ops HRA (Hari Raya Aidilfitri) 2025, sebanyak 840 kemalangan direkodkan berbanding 968 pada 2024, dengan tujuh kematian berbanding 24 kematian sebelum ini.

“Untuk Ops HRAA (Hari Raya Aidiladha) 2025 pula mencatatkan 289 kemalangan dengan tiga kematian, menurun berbanding 17 kematian pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, penurunan itu hasil strategi berterusan JPJ Terengganu merangkumi penguatkuasaan berfokus risiko, tindakan terhadap kesalahan berimpak tinggi serta kehadiran anggota di lokasi strategik.

Dalam pada itu, katanya, sepanjang tempoh operasi, JPJ Terengganu turut mengambil tindakan pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan serius mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) dengan denda antara RM8,000 hingga RM20,000.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top