am@hmetro.com.my
Marang: PAS bersedia menerajui pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai pengerusi gabungan itu berkuat kuasa semalam.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat bagi memilih pengerusi PN akan diadakan secepat mungkin, namun jawatan itu tidak akan diisi dalam kalangan pemimpin BERSATU.
Katanya, pengerusi PN akan dipilih daripada kalangan pimpinan tertinggi PAS dan calon berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat selewat-lewatnya minggu depan.
“PAS mempunyai ramai calon yang berkaliber termasuk ahli politik dan kalangan teknokrat,” katanya ketika ditemui di kediamannya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika mengulas mengenai pengganti pengerusi PN selepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa semalam.
Ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk menerajui pimpinan tertinggi PN, Abdul Hadi menjelaskan bahawa beliau berada dalam keadaan uzur, namun perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat PN.
“Kita dalam keadaan uzur, tetapi calon yang akan dipilih untuk memimpin PN akan dibincangkan pada mesyuarat minggu depan. Yang pasti, pengerusi gabungan itu daripada kalangan pemimpin PAS,” katanya.
Mengulas kemungkinan mesyuarat bersama pimpinan BERSATU, beliau menegaskan ia terpulang kepada pemimpin parti berkenaan untuk hadir atau sebaliknya termasuk mereka yang sudah melepaskan jawatan.
Menurutnya, hubungan antara PAS dan BERSATU masih baik walaupun Muhyiddin serta beberapa pengerusi PN di beberapa negeri mengumumkan peletakan jawatan.
Mengenai tindakan terhadap tiga wakil rakyat PAS yang digugurkan keahlian selepas didakwa menandatangani aku janji berkanun (SD) tidak menyokong kepimpinan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, Abdul Hadi berkata tindakan pengguguran keahlian sudah dilaksanakan.
Katanya, berdasarkan perlembagaan negeri, tiga wakil rakyat yang dipecat keahlian parti perlu digugurkan daripada jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
© New Straits Times Press (M) Bhd



