PHILADELPHIA: Lebih 1,000 orang daripada pelbagai latar belakang berarak di pusat bandar di sini menuntut pembebasan Palestin dan mengecam sokongan Amerika Syarikat (AS) kepada Israel.
Protes seumpamanya, yang jarang dilihat di AS sebelum ini, menyaksikan penunjuk perasaan berarak dari Rittenhouse Square menuju ke Dewan Bandaraya Philadelphia sambil bersorak.
Penganjurnya, Gabungan Bebaskan Palestin Philadelphia, berkata mereka bergerak sebagai gabungan sosialis, pertubuhan aktivis dan parti politik, yang berdedikasi menyokong perjuangan pembebasan Palestin daripada cengkaman Israel.
Beberapa aktivis turut berceramah di luar dewan bandaraya, menggesa pencerobohan Palestin dihentikan segera, kembalikan tanah yang dirampas dan mengiktiraf kewujudan negara Palestin yang merdeka.
Mereka turut melaungkan slogan ‘Bebaskan Palestin Dari Sungai ke Laut’, yang diungkapkan pengulas politik CNN, Marc Lamont Hill, ketika liputan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mac 2018, menyebabkannya dipecat.
Perhimpunan dan tunjuk perasaan seumpamanya turut dilaporkan di beberapa bandar lain di AS sejak gencatan senjata Jumaat lalu antara Israel dan pejuang Hamas.
Aktivis memberitahu Arab News bahawa jumlah dan kepelbagaian etnik peserta demonstrasi pro Palestin meningkat sejak kebelakangan ini.
Pasangan warga tua, Robert dan Jane Gold, berkata mereka tidak pernah menyaksikan perhimpunan sebegitu besar lagi konsisten bagi menyokong perjuangan serta mempertahankan hak penduduk Palestin. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




