nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Trend therian yang mengundang individu meniru tingkah laku haiwan kerana percaya setiap individu memiliki identiti haiwan boleh menggugat kefahaman akidah.
Menurut Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, trend itu bersifat provokatif boleh mendatangkan kekeliruan terutama bagi kanak-kanak dan remaja.
“Apabila trend therian melampaui sekadar lakonan untuk hiburan dan masuk ke wilayah ‘identiti’ atau ‘kepercayaan’, ia boleh menggugat kefahaman akidah.
“Anak-anak mungkin mula mempersoalkan siapa mereka, apa tujuan hidup mereka dan menganggap diri bukan lagi manusia sepenuhnya.
“Ketika itu, ia bukan lagi sekadar video trend di TikTok, tetapi ia menjadi gangguan terhadap kesejahteraan mental dan rohani,” katanya.
Beliau menyuarakan trend sebegini bersifat provokatif, mengundang rasa ingin mencuba dan menimbulkan kekeliruan terutama bagi yang masih berada dalam proses pembelajaran mengenal diri.
“Dalam Islam, manusia diciptakan dengan fitrah sebagai makhluk yang dimuliakan, diberikan akal, tanggungjawab dan kedudukan sebagai khalifah di bumi.
“Maka, apa-apa perbuatan yang membabitkan pengaburan identiti manusia dengan haiwan adalah bertentangan dengan fitrah dan martabat yang ditetapkan oleh Allah SWT.
“Memandang remeh fenomena ini bukan satu pilihan yang bijak dan perlu pemantauan,” katanya.
Beliau menyarankan ibu bapa memainkan peranan melindungi anak-anak daripada anasir tidak baik di laman media sosial.
“Peranan ibu bapa sangat penting memastikan anak tidak terbabit dalam trend tidak memberi manfaat.
“Pertama pantau penggunaan media sosial anak dan jangan biarkan mereka bebas menonton tanpa bimbingan.
“Perlu juga pastikan aplikasi yang digunakan sesuai umur dan gunakan fungsi kawalan ibu bapa apabila perlu.
“Kedua, berbicara dengan anak secara terbuka dan jangan terus menghukum atau marah. Perbincangan yang baik membina kepercayaan. Ketiga, bina kekuatan rohani dan jati diri.
“Akhir sekali pembabitan anak dalam aktiviti luar lebih manfaat dan ia membantu mengukuhkan keyakinan diri mereka sebagai manusia ciptaan Allah SWT,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




