nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Apabila orang tengok saya seperti ‘tomboi’, tidak semestinya saya lesbian. Orang seperti saya juga berhak untuk bahagia bersama pasangan (suami),” kata Inun Fazira Ismail, 27.
Menceritakan mengenai kisahnya, Inun Fazira berkata, dia kenal suaminya, Mohd Izzat Nordin, 28, menerusi media sosial sejak hampir lapan tahun lalu.
“Pertama kali suami direct message (DM) di Facebook, saya tidak membalasnya. Mesej itu hanya dijawab selepas enam bulan kemudian.
“Kami ambil masa kira-kira dua tahun untuk berkenalan hanya di media sosial sebelum bersemuka pada awal 2020,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Inun Fazira yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, berkata, sepanjang tempoh perkenalan mereka, suaminya menunjukkan usaha untuk berkahwin dengannya.
“Boleh dikatakan setiap tahun sejak tiga tahun lalu, suami mengajak saya berkahwin. Suami beritahu dia jatuh cinta pada saya kerana selesa dengan cara serta layanan saya.
“Malah, suaminya beritahu dia suka sifat saya yang sama seperti ibu saudaranya yang aktif dalam sepak takraw, manakala saya aktif dalam hoki,” katanya.
Menurutnya, dia pada mulanya sukar untuk menerima perasaan Mohd Izzat yang menetap di Pengkalan Hulu, Perak dan merasakan situasi itu agak janggal.
“Apabila suami luah perasaannya kepada saya sebelum ini, saya rasa lawak. Namun, saya nampak dia bersungguh hingga saya turut jatuh hati kepadanya.
“Sejak itu, saya menerimanya dengan hati terbuka. Suami adalah kekasih pertama saya dan alhamdulillah hubungan itu sampai ke jinjang pelamin,” katanya yang bekerja di bahagian peruncitan.
Katanya, dia bersyukur kerana ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta rakan-rakan menerima hubungan mereka dan tiada paksaan untuk dirinya berubah.
“Sejujurnya, saya sendiri terkejut apabila lihat diri selepas bersolek. Seumur hidup saya, ketika bertunang adalah kali pertama kali saya bersolek. Kali kedua dan ketiga (bersolek) adalah ketika akad nikah serta bersanding.
“Apabila muat naik video perkahwinan kami di media sosial, saya tidak sangka akan mendapat banyak perhatian daripada warganet sehingga ia tular.
“Ramai warganet mengucapkan tahniah, malah ada yang memuji saya cantik apabila bertudung dan bersolek dalam majlis berkenaan (bersanding),” katanya.
Menurutnya, ketika ini, dia dan suami menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ) atas kekangan tugas Mohd Izzat yang juga penjawat awam.
“Saya bersyukur suami sudi menerima saya dengan hati terbuka. Saya sendiri berazam untuk berubah ke arah lebih baik termasuk menutup aurat nanti.
“Saya harap masyarakat tidak terlalu cepat menilai penampilan seseorang. Mungkin ada dalam kalangan individu di luar sana yang tersesat, namun mereka boleh kembali ke pangkal jalan.
“Tidak semua tomboi itu lesbian (menyukai kaum sejenis). Pastinya mereka akan kembali ke fitrah asal dan semua orang berhak bahagia serta boleh berubah bila-bila masa,” katanya.
Terdahulu, Inun Fazira memuat naik beberapa gambar serta video perkahwinannya di media sosial dengan ada hantarannya mendapat tontonan sebanyak 6.2 juta, 852 komen, lebih 112,000 tanda suka dan dikongsi hampir 35,000 kali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




