Jakarta: Bekas pengendali Kanada, John Herdman dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Indonesia, umum persekutuan bola sepak negara itu, hari ini.
Herdman menggantikan Patrick Kluivert selepas jurulatih dari Belanda itu meninggalkan jawatannya secara persetujuan bersama susulan Indonesia tersingkir daripada kempen kelayakan Piala Dunia zon Asia pada Oktober lalu.
Jurulatih berusia 50 tahun dari England itu sebelum ini pernah mengendalikan skuad wanita New Zealand sebelum membawa pasukan wanita Kanada meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2012 dan 2016.
Herdman kemudian membimbing pasukan lelaki Kanada layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar, penampilan pertama negara itu di pentas akhir selepas 36 tahun.
Tugas terakhirnya adalah sebagai jurulatih Toronto FC.
Perlawanan pertama Herdman bersama Indonesia dijadualkan pada Mac depan apabila negara itu menjadi tuan rumah Siri FIFA di Jakarta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




