Madrid: Sepanyol hari ini menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam krisis antara Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela selepas serangan AS ke atas Caracas, serta penahanan Presiden Nicolas Maduro yang dibawa keluar dari negaranya.
Menurut Kementerian Luar Sepanyol dalam satu kenyataan, pihaknya berharap tidak berlaku ketegangan sambil menyarankan kedua-dua negara mengambil sikap berhemah.
Sepanyol tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya pada 28 Julai 2024, yang secara rasmi dimenangi oleh Maduro tetapi dipertikai oleh pihak pembangkang.
Calon parti pembangkang, Edmundo Gonzalez Urrutia, dilapor melarikan diri dari Venezuela ke Madrid selepas pilihan raya itu.
Dalam perkembangan sama, Sepanyol menyatakan kesediaan untuk menerima rakyat Venezuela yang terkesan akibat konflik politik negara itu.
“Sepanyol telah menerima dan akan terus menerima puluhan ribu rakyat Venezuela yang terpaksa meninggalkan negara mereka atas sebab politik.
“Sepanyol juga bersedia membantu dalam usaha mencari penyelesaian yang demokratik, rundingan dan keamanan bagi negara itu,” kata Kementerian Luar negara itu.
Pada pilihan raya 2024, Maduro diisytiharkan sebagai pemenang oleh Majlis Pilihan Raya Kebangsaan, yang tidak menerbitkan keputusan terperinci dari pusat pengundian dengan alasan berlakunya serangan siber.
Pihak pembangkang Venezuela mengecam penipuan pilihan raya yang menyasarkan Gonzalez Urrutia, yang mengambil alih pencalonan pada saat-saat akhir bagi menggantikan pemimpin pembangkang Maria Corina Machado, selepas beliau dituduh tidak layak bertanding.
Beberapa minggu kemudian, Gonzalez Urrutia melarikan diri dari Venezuela menaiki pesawat tentera Sepanyol dan diberikan suaka.
Machado yang baru-baru ini menerima Hadiah Keamanan Nobel dan berjaya bertemu dengannya di Stockholm, dalam keadaan penuh dramatik apabila hidup bersembunyi di Venezuela sejak pilihan raya itu.
Sebahagian besar masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya presiden itu, yang membolehkan Maduro memulakan penggal ketiga berturut-turut selama enam tahun. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




