Birmingham: Aston Villa menewaskan Nottingham Forest yang bergelut 3-1 di kubu sendiri, hari ini, untuk meredakan kekecewaan susulan kekalahan teruk kepada Arsenal pertengahan minggu lalu, sekali gus memintas Manchester City untuk naik ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).
Jaringan Ollie Watkins sejurus sebelum tamat separuh masa pertama memberikan kelebihan kepada pasukan kendalian Unai Emery, sebelum John McGinn menambah gol kedua pada awal separuh masa kedua.
Morgan Gibbs-White merapatkan jurang buat pelawat, namun McGinn mengambil kesempatan atas kesilapan mudah penjaga gol Forest, John Victor, untuk mengembalikan kelebihan dua gol buat Villa.
Rentetan 11 kemenangan berturut-turut Villa dalam semua kejohanan sebelum ini terhenti selepas tewas 1-4 kepada Arsenal di Emirates, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan mereka mencabar kejuaraan.
Namun, rekod cemerlang mereka di Villa Park kekal utuh. Villa kini mencatat 11 kemenangan berturut-turut di laman sendiri sejak tewas 0-3 kepada Crystal Palace pada Ogos lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




