Benar kenderaan asing isi RON95, pengusaha stesen minyak diambil tindakan

Benar kenderaan asing isi RON95, pengusaha stesen minyak diambil tindakan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pengusaha sebuah stesen minyak di Kulai akan dikenakan tindakan selepas membenarkan kenderaan asing mengisi petrol RON95 didakwa menggunakan taktik menutup nombor pendaftaran kenderaan bagi mengelak dikesan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan diambil selepas siasatan pihaknya yang mendapati pengusaha stesen minyak melakukan pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Katanya, siasatan turut dijalankan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu yang mendapati kejadian berlaku pada 10.36 malam Jumaat (2 Jan) dengan pembelian tidak membabitkan pengesahan identiti di kaunter.

“Daripada semakan transaksi, hanya sebahagian daripada jumlah pembelian berjaya diisi sebelum pengisian dihentikan sepenuhnya.

“Kes akan disiasat di bawah AKB 1961, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi pesalah individu.

“Jika pesalah membabitkan syarikat, boleh didenda sehingga RM2 juta, manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda sehingga RM5 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengalu-alukan aduan awam mengenai sebarang salah laku yang boleh disalurkan melalui talian WhatsApp 019 – 848 8000; portal e-Aduan KPDN iaitu e-aduan@kpdn.gov.my; ‘call centre 1–800–886-800 serta aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Terdahulu, video tular menunjukkan seorang individu mengesan perbuatan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang sedang mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di negeri ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top