syafil.syazwan@hmetro.com.my
MENITI fasa baharu dalam kalendar 2026, pasangan romantis yang sering mendapat julukan ‘power couple’ industri muzik tanah air, Syamel dan Ernie Zakri, tidak pernah lelah merencana hari mendatang dengan penuh teliti.
Kehadiran 2026 bukan sekadar pertukaran angka pada kalendar, malah ia membawa makna cukup mendalam, khususnya bagi Syamel yang kini genap sedekad dalam dunia seni suara.
Bagi mengukuhkan ukhuwah bersama peminat mereka, pasangan ini memilih cara yang berbeza untuk menyambut ambang tahun baharu kali ini. Tiada hiruk-pikuk konsert terbuka yang dibanjiri lautan manusia di bawah simbahan hujan atau kepanasan, sebaliknya mereka memilih suasana yang lebih tenang dan eksklusif.
Menceritakan pengalaman mengadakan persembahan secara tertutup atau ‘indoor’, Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, menyifatkan ia sebagai satu kelainan yang sangat positif.
Walaupun lazimnya malam sambutan tahun baharu sinonim dengan suasana yang sesak dan hiruk-pikuk, namun penganjuran kali ini memberikan satu perspektif baharu buat mereka berdua.
“Sebenarnya ini kelainan buat kami apabila dimaklumkan oleh pihak label mengenai penganjuran acara sambutan tahun baharu secara dalaman. Pada awalnya, kami sendiri tidak pernah mempunyai pengalaman mengadakan sambutan secara tertutup sebegini.
“Namun, alhamdulillah, akhirnya acara penting ini berjaya direalisasikan dengan sokongan semua pihak. Saya lihat semua yang hadir benar-benar menikmati persembahan dalam suasana yang sangat tenang, nyaman dan selesa,” katanya.
Bagi Syamel, kedua-dua konsep mempunyai kelebihan masing-masing dan mereka terbuka untuk menerima apa sahaja peluang pada masa hadapan mengikut kesesuaian rezeki.
Sementara itu, Ernie pula tidak dinafikan timbul rasa gusar apabila memikirkan bagaimana penerimaan peminat terhadap konsep ballroom yang mungkin dirasakan sedikit kaku bagi sesetengah pihak. Namun, telahannya meleset sebaik sahaja kaki melangkah ke pentas.
“Sejujurnya, pada awalnya saya agak gusar kerana kami tidak pernah mengadakan sambutan tahun baharu dalam ballroom. Kami tak tahu bagaimana ‘vibe’ penonton nanti. Daripada sudut cuaca, sudah tentu ia satu kelebihan kerana suasananya sangat selesa.
“Namun apabila Syamel mula menyanyi dan saya mendengar sorakan penonton, alhamdulillah, rasa ‘indoor’ dan ‘outdoor’ itu hampir sama. Kami sangat berterima kasih kepada pihak Le Meridien dan Universal Music Malaysia kerana memberi kepercayaan ini,” katanya.
Bercakap mengenai azam dan perancangan tahun ini, Ernie yang terkenal dengan lantunan vokal hebatnya, lebih selesa untuk tidak terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri.
Baginya, 2026 adalah tahun untuk terus ‘ikut arus’, namun tetap memastikan setiap projek yang dirancang bersama label dilaksanakan sebaik mungkin.
“Azam saya seperti biasa, saya lebih kepada mengikut aliran. Namun daripada segi perancangan bersama Universal Music Malaysia, memang banyak yang sudah dirancang. Saya hanya ingin melakukan yang terbaik kerana banyak projek sudah dan sedang direncanakan.
“Saya berdoa agar semua perancangan ini dapat direalisasikan dan dilancarkan tahun ini. Insya-Allah, akan ada banyak lagu baharu dan projek menarik untuk peminat,” katanya.
Ernie melihat perjalanan sepanjang 2025 sebagai satu fasa yang sangat tersusun meskipun penuh dengan cabaran. Baginya, setiap cabaran itu adalah guru yang mendewasakan mereka berdua dalam mengemudi kerjaya seni.
“Untuk 2026, kami masih mengikut garis masa perancangan kerana selagi ada kudrat, kami mahu bekerja dengan bijak dan terus memberikan yang terbaik buat peminat. Allah kurniakan banyak perkara positif tahun lalu, jadi kami mahu momentum itu diteruskan,” katanya.
Bagi Syamel pula, 2026 adalah tahun untuk dia bekerja dengan lebih pantas.
Fokus utamanya kini untuk merapatkan kembali jurang dan hubungan bersama peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang kerjayanya.
“Perancangan memang banyak, namun yang penting ialah pelaksanaan. Bersama Universal Music Malaysia, saya lihat perancangannya bergerak dengan sangat pantas. Dalam beberapa bulan sahaja, kami menjayakan showcase.
“Insya-Allah, album baharu akan dilancarkan tahun ini, disusuli lebih banyak perancangan menarik. Kami mahu 2026 bermula dengan sesuatu yang indah diikuti pengumuman album dan showcase selepas Aidilfitri nanti,” kata Syamel.
Selepas penat bekerja, pasangan ini sempat meluangkan masa membawa seluruh ahli keluarga bercuti ke Bandung dan Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Menurut Syamel, percutian itu adalah percutian sepenuhnya bagi menghargai keluarga tercinta sebelum kembali sibuk dengan komitmen seni yang tidak pernah putus.
“Kami bawa seluruh keluarga. Alhamdulillah, percutian yang sangat bermakna. Ia adalah masa untuk kami berehat sepenuhnya sebelum kembali fokus kepada kerja kreatif di studio dan pentas persembahan,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh pengalaman lebih 10 tahun dalam industri, ramai yang tertanya-tanya sama ada pasangan ini sudah bersedia untuk memulakan kelas bimbingan atau menjadi mentor kepada generasi baharu secara formal.
Namun, buat masa ini, kedua-duanya lebih selesa untuk berkongsi ilmu secara santai.
“Jika ada yang mahu berkongsi atau berborak, kami terbuka. Namun untuk membuka kelas secara formal, mungkin belum lagi,” kata Ernie.
Syamel pula percaya kualiti suara adalah sesuatu yang subjektif, namun keikhlasan kunci utama untuk kekal lama.
“Kami percaya semua orang ada potensi. Jika ada yang bertanya atau mahu berkongsi pengalaman, kami sedia membantu. Yang penting, keikhlasan dalam berkarya. Itu yang akan diterima oleh semua generasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



