mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali PDRM, Eddy Gapil jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas gagal mencatatkan kemenangan apabila bertemu DPMM FC di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, malam tadi.
Pada perlawanan terbabit, barisan anak buah Yusri tewas 1-3 sekali gus menafikan peluang mereka untuk perbaiki kedudukan pasukan dalam saingan Liga Super.
Eddy berkata, gol awal pasukan tuan rumah jelas membunuh semangat pasukan untuk terus beraksi baik pada perlawanan itu.
“Gol awal lawan selepas 47 saat sahaja dan gol kedua mematahkan semangat pemain. Saya buat beberapa pertukaran untuk bangkit, tetapi ia datang sedikit lambat.
Kami berjaya menjaringkan satu gol, tetapi gol ketiga lawan mematikan momentum kami,” katanya.
Berdasarkan kepada keseluruhan perlawanan, Eddy menyimpulkan bahawa barisan anak buahnya tidak beraksi seperti yang dirancang sekali gus merencatkan peluang mencatatkan keputusan positif.
“Ini bukan standard sebenar kami. Saya rasa kecewa kerana pemain sepatutnya lebih fokus dan bertindak bijak dalam situasi kritikal.
“Kita gagal mengekalkan disiplin di bahagian tengah dan pertahanan, dan ia membolehkan DPMM mencari ruang dan menjaringkan gol mudah. Saya mahu pasukan belajar daripada kesilapan ini dan tidak mengulanginya,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga menegaskan bahawa masalah skuad yang kecil menambah tekanan kepada taktikal pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




