BASEL, Switzerland: Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) Aleksander Ceferin menyelar cadangan mengadakan Piala Dunia FIFA dua tahun sekali.
Kongres FIFA pada Jumaat lalu memberi lampu hijau untuk cadangan menjadikan kejohanan empat tahun sekali itu lebih kerap dikaji.
“FIFA boleh melakukan kaji selidik tentangnya tetapi ia mustahil untuk menganjurkan Piala Dunia setiap dua tahun.
“Bagi saya ia akan mengganggu kalendar sedia ada. Untuk pemain pula, mereka akan lebih terdedah kepada kecederaan jika kejohanan semakin kerap.
“Cadangan untuk menganjurkan Piala Dunia setiap dua tahun tidak rasional sama sekali,” kata Ceferin.
Cadangan itu dibuat oleh Persatuan Bolasepak Arab Saudi, sekutu rapat Presiden FIFA Gianni Infantino.
Persatuan itu sudah memberikan sokongan kewangan dan moral kepada Infantino untuk memperluaskan lagi Piala Dunia Kelab FIFA.
Presiden FIFA itu juga dikatakan menyokong penubuhan Liga Super Eropah yang menemui kegagalan. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




