Sebak tengok Kamal Adli dan anak perempuannya

Sebak tengok Kamal Adli dan anak perempuannya

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Kamal Adli, 39, mencuri perhatian ramai netizen menerusi paparan video berdurasi 40 saat di Instagram (IG) saat ketika pertemuan dengan anak perempuannya, Hawra Uqaira, 19 bulan.

Kamal yang sering meluahkan perasaan rindu terhadap cahaya matanya itu membuatkan kebanyakan pengguna media sosial sebak melihat hubungan kasih sayang yang rapat antara anak dan bapa walaupun Hawra Uqaira masih kecil.

Menerusi kapsyen ditulis Kamal pada hantaran video pendek dimuatnaik di IG itu, dia memaklumkan Hawra Uqaira merajuk dengannya dan kanak-kanak itu bersikap ‘jual mahal’ terhadap bapa sendiri.

“Dia merajuk, tapi dia rindu. Dia jual mahal, tapi sebenarnya dia nak.

“Sorry (Maaf) Hawra. Video last (terakhir) jumpa hari tu. Sumpah i miss you so much (saya sangat rindukan awak) anak,” tulisnya berserta emoji hati berwarna merah.

Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen gembira melihat kelakuan Hawra Uqaira yang bijak dan manja dengan Kamal, termasuk gembira pada sikap hormat ditunjukkan oleh adik lelaki Uqasha terhadap abang iparnya itu.

“Hawra ni rapat dengan ayah dia..jangalah dinafikan.. kasihan tengok..kita pula yang sedih,” komen warganet.

“Kenapalah pisahkan ayah dengan anak,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Moga Kamal dapat spend (luang) masa lebih lagi dengan Hawra. Kasihannya ayah dan anak yang terpisah ni,” ujar netizen.

“Harap-harap ibu Hawra pun macam itu la kan..merajuk tapi rindu, jual mahal tapi nak. Bukan apa rindu nak tengok,” kata seorang wargamaya.

Sementara itu, pada hantaran dikongsikan di InstaStory IG pula memaparkan Kamal bersama Datuk Remy Ishak di set penggambaran filem Ops Daulat.

Tidak hanya itu, Kamal juga berkongsi hantaran di InstaStory dia berada di gimnasium dengan beberapa rakan melakukan senaman untuk penjagaan kesihatan.

Terdahulu, kemelut rumah tangga Kamal dan isterinya yang juga pelakon, Uqasha Senrose, 33, terus menjadi perhatian ramai selepas wanita itu memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu.

Kes sebutan perceraian yang masih dijalankan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini belum lagi selesai apabila sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) pasangan ini gagal mencapai persefahaman.

Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang lahir pada April 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top