am@hmetro.com.my
Kuantan: Polis memburu tiga suspek dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan melarikan sebuah pacuan empat roda di Muadzam Shah, Rompin hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima laporan rumah dipecah masuk pada 5 pagi oleh suspek yang menyebabkan mangsa kerugian hingga RM70,000.
Katanya, semua suspek terbabit melarikan diri menggunakan Nissan Navara milik mangsa berusia 39 tahun yang diletakkan di dalam pagar rumah.
“Bertindak atas perkongsian maklumat sistem GPS pada kenderaan mangsa, polis berjaya mengesan kedudukan kenderaan berhampiran kawasan lapang tapak projek ECRL Jambu Rias, Karak, pada 10 pagi.
“Sebaik menemukan kenderaan itu, anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) Bentong cuba menghampiri untuk pemeriksaan, tetapi suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri sejauh 10 kilometer hingga ke Kampung Chinta Manis, Karak,” katanya dalam kenyataan.
Sharif Shai berkata, ketiga-tiga suspek itu kemudiannya meninggalkan kenderaan berkenaan dan dipercayai melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.
Katanya, pemeriksaan awal pada kenderaan menemukan dua cap jari dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Menurutnya, kenderaan itu dibawa balik ke Balai Polis Karak untuk tindakan lanjut dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menyalurkannya kepada Bilik Gerakan Polis Rompin di talian 09-4145222.
© New Straits Times Press (M) Bhd




