'Persiapan sekolah anak, wang simpanan suami semuanya hangus'

'Persiapan sekolah anak, wang simpanan suami semuanya hangus'

am@hmetro.com.my

Tumpat: Lima beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa didiami di Wakaf Bharu di sini musnah dalam kebakaran, hari ini.

Siti Nor Amira Mat Rifin, 34, berkata, kebakaran pada 6.40 petang itu turut menyebabkan kelengkapan sekolah dua anak berusia enam dan 10 tahun yang baharu dibeli musnah sepenuhnya.

Menurut, ketika kejadian mereka lima beranak tiada di rumah kerana menziarahi ibunya di Kampung Paloh dan hanya mengetahui musibah berlaku selepas dihubungi jiran.

“Saya (awalnya) menyangkakan kebakaran itu tidaklah besar dan sempat pesan (kepada jiran) meminta orang ramai (bantu) memadamkannya.

“Bagaimanapun sebaik tiba, saya sangat terkejut kerana yang tinggal hanyalah asap serta abu sahaja. Difahamkan api sangat marak malah kebakaran berlaku sangat cepat.

“Tiada apa yang tinggal kerana semuanya sudah musnah. Seingat saya, ada sejumlah wang hasil suami menebar roti canai disimpan di bilik tidur… itu juga hangus,” katanya yang menyewa rumah itu sejak dua minggu lalu.

Saksi kejadian, Maizon Abdullah, 57, berkata, terhidu bau hangit dan mendengar bunyi letupan kecil, sebelum bergegas keluar dan melihat kepulan asap keluar dari hadapan rumah jiran.

“Ingatkan orang bakar sampah, tetapi tidak lama kemudian berlaku letupan kuat dan api mulai marak membakar rumah jiran serta merebak ke sebuah lagi rumah yang tidak berpenghuni,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Mohd Nasrin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.48 petang dan 14 anggota ke lokasi termasuk daripada BBP Tumpat dan Pengkalan Kubor.

“Kebakaran membabitkan dua unit rumah jenis separuh kekal dan kemusnahan adalah 100 peratus. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top