Mayat Mohamat Firdarus ditemui di kawasan lubuk Jeram Besu

Mayat Mohamat Firdarus ditemui di kawasan lubuk Jeram Besu

am@hmetro.com.my

Raub: Juruteknik yang hilang dihanyutkan arus ketika mandi di Pusat Rekreasi Jeram Besu, Sungai Lipis, di sini, Khamis lalu ditemukan lemas, hari ini.

Ketua Zon Tiga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Rosdi Mustafa berkata, mayat Mohamat Firdarus Jamaidi, 25, ditemukan terapung di kawasan lubuk, kira-kira 700 meter dari dia hilang pada 3.40 petang.

Menurutnya, mangsa ditemui ketika anggota menyusuri sungai dalam operasi mencari dan menyelamatkannya (SAR).

“Ketika ditemukan, mayat mangsa lengkap berpakaian kelihatan terapung di kawasan lubuk dan terdapat putaran air di lokasi itu,” katanya.

Mohamat Firdarus dilaporkan hilang ketika mandi di jeram itu pada 12.35 tengah hari, Khamis lalu.

Kehilangannya disedari isterinya, Putri Nursyafika Yasmin Azizan Shah, 28, dan pasangan terbabit berasal dari Johor Bahru, Johor.

SAR digerakkan membabitkan pelbagai agensi penyelamat dan turut dibantu penduduk kampung.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top