am@hmetro.com.my
Kulai: Pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang menutup dua huruf pada nombor pendaftaran kenderaan itu untuk mengisi petrol RON95 di stesen minyak di sini, memegang status penduduk tetap (PR) republik itu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya mengesan individu berkenaan yang kini berada di Singapura dan sudah mengarahkannya untuk hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.
“Pemilik sudah berjaya dikesan dan kini berada di Singapura. Dia sudah dihubungi untuk hadir segera bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial memaparkan seorang individu yang mengesan perbuatan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang sedang mengisi petrol RON95.
Pemilik video mendakwa kemungkinan ia taktik baharu warga Singapura untuk mengaburi mata pihak berkuasa apabila menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan asing itu supaya kelihatan seperti kenderaan tempatan.
Apabila didekati dan disoal pemilik video, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum cuba meninggalkan lokasi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo juga dilaporkan berkata, satu tindakan diambil ke atas pengusaha stesen minyak berkenaan, kerana pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
- Tiada rekod kenderaan asing dalam sistem JPJ, polis masih kesan pemilik
- Benar kenderaan asing isi RON95, pengusaha stesen minyak diambil tindakan
- KPDN siasat kereta warga asing ubah nombor pendaftaran isi RON95
© New Straits Times Press (M) Bhd




