Dunia glamor bukan jiwa saya yang sebenar: Faizdickie

Dunia glamor bukan jiwa saya yang sebenar: Faizdickie

syafil.syazwan@hmetro.com.my

SIRI 1

Dunia glamor dan populariti di media sosial sering dianggap sebagai ‘tiket emas’ untuk kekayaan ekspres. Namun, bagi pencipta kandungan dan pempengaruh, Faizdickie, kitaran populariti itu ada pasang surutnya.

Sedar bahawa lampu limpah tidak selamanya menyuluh ke arahnya, pemilik nama sebenar Mohd Nasrul Faiz Abu Azal ini memilih untuk melangkah ke fasa yang lebih stabil iaitu dunia akademik.

Siapa sangka, di sebalik video lucu yang menghiburkan jutaan pengikut, Faiz kini sedang rancak memacu karier sebagai pensyarah dan dalam masa yang sama, bergelar calon Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengimbas kembali perjalanannya, Faiz mengakui perancangan asalnya selepas pulang dari United Kingdom (UK) pada 2015 hanyalah untuk ‘merasa’ dunia glamor selama setahun.

Namun, rezeki melimpah ruah menyebelahinya sehingga tempoh itu berlanjutan bertahun-tahun lamanya.

“Ikutkan 2016 saya sepatutnya bekerja di pejabat semula. Tapi rezeki media sosial waktu itu sangat luar biasa. Walaupun populariti sekarang tidak lagi sehebat dahulu, pendapatan itu masih ada.

“Cuma, saya sedar dunia artis atau glamor ini bukan ‘jiwa’ saya yang sebenar. Saya bukan jenis orang yang suka jadi tumpuan atau lantang bersuara. Sebab itu pada 2018, saya mula mengajar di Kolej SEGi. Saya rasa lebih tenang di situ,” katanya.

Menurut Faiz, impak pandemik Covid-19 benar-benar membuka matanya mengenai realiti kehidupan sebagai pempengaruh. Kehadiran platform TikTok yang melahirkan ramai wajah baharu membuatkan persaingan menjadi semakin sengit.

“Bergantung sepenuhnya kepada media sosial tidak lagi realistik. Saya pegang satu prinsip, pendidikan adalah nombor satu.

“Kalau satu hari nanti saya sudah tidak relevan, sekurang-kurangnya saya ada ilmu untuk berpaut dan terus menyumbang kepada masyarakat dalam bidang akademik,” katanya.

Bercerita mengenai perkembangan media sosial, Faiz secara jujur mengakui pernah melalui fasa ‘terlepas peluang’ disebabkan rasa selesa dengan platform sedia ada.

Katanya, ada tiga peluang besar yang tidak direbutnya dengan serius sebelum ini iaitu YouTube, TikTok, dan podcast.

“Tahun 2015, orang mula gila YouTube tapi saya rasa cukup sekadar di Instagram. Kemudian bila TikTok mula naik, saya rasa ia bukan jiwa saya sebab penuh dengan tarian dan lipsync.

“Padahal saya antara pempengaruh terawal yang dibayar untuk promosikan TikTok selepas penjenamaan semula daripada Musical.ly.

“Ketiga adalah podcast. Kita antara yang terawal buat program podcast berjudul Borak Topeng Misteri, tapi bila podcast meledak sekarang, kita pula sudah berhenti. Pengajarannya, kalau nak kekal relevan, kita kena ikut arus dan cuba semua platform,” katanya.

Walaupun ada rasa ‘pahit’ apabila melihat pencipta kandungan generasi baharu naik dengan mudah tanpa perlu memikirkan konsep yang berat, Faiz tetap melihatnya dari sudut positif sebagai rezeki masing-masing.

Kini bertugas sebagai tenaga pengajar di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Faiz tidak menafikan nama besar ‘Faizdickie’ banyak membantu urusan kerjayanya.

Menariknya, bukan pelajar yang paling mengenalinya, tetapi rakan sekerja dan staf yang membesar bersama zamannya.

“Populariti memudahkan jalan, tapi ia datang dengan tanggungjawab besar. Orang letak jangkaan tinggi, jadi saya tidak boleh bekerja sambil lewa. Saya bawa imej yang orang kenali, maka prestasi kerja kena seiring,” katanya.

Ditanya sama ada pihak organisasi mengambil kesempatan atas status pempengaruhnya, Faiz berkata dia bijak meletakkan batas profesional.

“Saya dibayar sebagai pensyarah, bukan pempengaruh. Kalau sekadar bantu idea kreatif atau video ringkas untuk promosi universiti, saya tiada masalah. Tapi kalau membabitkan nilai komersial yang besar, saya akan letakkan bayaran sewajarnya. Kita kena tahu nilai diri kita,” katanya.

Walaupun sibuk mengimbangi tiga dunia iaitu mengajar, belajar dan mencipta kandungan, Faiz mengakui minatnya dalam dunia lakonan dan pengacaraan masih belum padam.

Pernah membintangi filem Keluarga Iskandar 2, dia menyifatkan rezekinya dalam bidang arus perdana mungkin belum tiba ke puncaknya.

“Jemputan mengacara tidak banyak, mungkin populariti saya tidak sekuat dulu untuk tawaran besar. Tapi saya bersyukur sebab hampir semua benda saya dah rasa iaitu menulis buku, sertai game show dan macam-macam lagi.

“Sekarang fokus saya adalah selesaikan PhD dan teruskan kerjaya akademik. Media sosial tetap jalan, tapi ia kini sebagai hobi yang mendatangkan hasil, bukan lagi punca rezeki tunggal,” katanya.

ESOK : Pempengaruh perlu lebih peka kepada sensitiviti

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top