Palm Beach, Amerika Syarikat: Presiden Donald Trump pada Sabtu berkata, Amerika Syarikat akan ‘mentadbir’ Venezuela dan memanfaatkan rizab minyaknya yang besar selepas menculik pemimpin sayap kiri, Nicolas Maduro, keluar dari negara itu dalam serbuan pengeboman ke atas Caracas.
Pengumuman Trump dibuat beberapa jam selepas serangan kilat di mana pasukan khas menangkap Maduro dan isterinya, sementara serangan udara membedil beberapa lokasi, sekali gus mengejutkan ibu negara itu.
Pasangan Maduro dibawa ke New York untuk menghadapi pertuduhan pengedaran dadah dan senjata.
Walaupun operasi berisiko tinggi itu berjaya, apa yang akan berlaku selepas ini masih tidak menentu.
Trump berkata, beliau sedang ‘melantik individu’ daripada Kabinetnya untuk mengetuai urusan di Venezuela namun tidak menjelaskan bagaimana ia akan dilaksanakan.
Dalam satu lagi kejutan, Trump memberi isyarat tentera AS mungkin akan ditempatkan di negara itu pada masa depan dengan berkata, Washington ‘tidak gentar menurunkan anggota di lapangan.’
Bagaimanapun, Trump kelihatan menolak kemungkinan pembangkang tertindas negara itu mengambil alih kuasa dan sebaliknya menyatakan beliau boleh bekerjasama dengan naib presiden Maduro, Delcy Rodriguez.
Satu perkara yang semakin jelas ialah motivasi Rumah Putih.
Walaupun operasi itu digambarkan sebagai tindakan penguatkuasaan undang-undang, Trump menjelaskan pertukaran rejim dan kekayaan minyak Venezuela adalah sasaran utama.
“Kami akan bawa masuk syarikat minyak besar Amerika Syarikat…melabur berbilion dolar, membaiki infrastruktur yang rosak teruk,” katanya. “Kami akan jual minyak dalam jumlah yang besar.”
Pemimpin pembangkang yang disokong AS, Maria Corina Machado, yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan tahun lalu, menulis di media sosial bahawa “saat kebebasan telah tiba.”
Beliau menyeru calon pembangkang dalam pilihan raya 2024, Edmundo Gonzalez Urrutia, supaya ‘segera’ mengambil alih jawatan presiden.
Namun Trump secara mengejutkan bersikap dingin terhadap jangkaan Machado akan menjadi pemimpin baharu Venezuela.
Katanya, beliau tidak mempunyai ‘sokongan atau penghormatan’ di negara itu.
Sebaliknya, Trump memuji Rodriguez dengan berkata “dia pada asasnya sanggup melakukan apa yang kami fikir perlu untuk menjadikan Venezuela hebat semula.”
Rodriguez bagaimanapun menolak perkara itu, menuntut pembebasan Maduro dan berikrar ‘mempertahankan’ negara itu.
Mencerminkan kekeliruan, Trump memberi bayangan penglibatan AS akan berpanjangan.
“Kami sudah berada di sana sekarang, dan kami akan kekal sehingga peralihan yang sewajarnya dapat dilakukan,” katanya.
China, penyokong rejim sayap kiri Maduro berkata, ia ‘mengutuk keras’ operasi AS manakala Perancis memberi amaran bahawa penyelesaian tidak boleh ‘dipaksakan dari luar'”
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata, beliau ‘amat bimbang bahawa peraturan undang-undang antarabangsa tidak dihormati.’
Rakyat Venezuela sudah bersiap sedia menghadapi serangan selepas pasukan AS, termasuk kapal pengangkut pesawat USS Gerald R Ford berkumpul di perairan luar pesisir selama berbulan-bulan.
Penduduk Caracas dikejutkan letupan dan bunyi helikopter tentera sekitar jam 2 pagi (0600 GMT). Serangan udara menghentam sebuah pangkalan tentera utama dan sebuah pangkalan udara, antara lokasi lain, hampir sejam, menurut wartawan AFP.
Pegawai tertinggi tentera AS, Jeneral Dan Caine, berkata, 150 pesawat terlibat dalam operasi, menyokong pasukan diterbangkan dengan helikopter untuk menangkap Maduro dengan bantuan risikan berbulan-bulan mengenai tabiat harian pemimpin itu – termasuk “apa yang dia makan” dan haiwan peliharaannya.
Maduro, 63, dan isterinya “menyerah diri” tanpa pergelutan dan “tiada anggota AS terkorban.
Maria Eugenia Escobar, 58, penduduk La Guaira berhampiran lapangan terbang utama yang dibedil hebat berkata, kepada AFP letupan itu “mengangkat saya dari katil, dan saya terus terfikir, “Ya Tuhan, hari itu sudah tiba.”
Dalam beberapa jam selepas operasi itu, Caracas menjadi sunyi sepi, dengan polis berkawal di luar bangunan awam dan bau asap menyelubungi jalan-jalan.
AS dan beberapa kerajaan Eropah sebelum ini tidak mengiktiraf kesahihan Maduro dengan mendakwa beliau menipu dalam pilihan raya 2018 dan 2024.
Maduro – yang memerintah sejak 2013 selepas menggantikan mentornya Hugo Chavez – sekian lama menuduh Trump mahu menukar rejim bagi menguasai rizab minyak Venezuela.
Trump memberi pelbagai alasan bagi dasar agresif terhadap Venezuela termasuk isu penghijrahan haram, penyeludupan dadah dan industri minyak negara itu.
Namun sebelum ini beliau mengelak daripada secara terbuka menyeru pertukaran rejim.
Beberapa ahli Kongres mempersoalkan kesahihan operasi itu namun sekutu utama Trump, Speaker Dewan Perwakilan dari Republikan, Mike Johnson berkata, tindakan itu “wajar.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




