Amorim arah hierarki United jalankan tugas

Amorim arah hierarki United jalankan tugas

Leeds: Ruben Amorim memberi amaran kepada hierarki Manchester United supaya “menjalankan tugas mereka” susulan keputusan seri 1-1 menentang Leeds, awal pagi tadi, sambil menegaskan dia perlu diberi ruang bekerja tanpa campur tangan.

Pengendali dari Portugal itu mencetuskan persoalan mengenai masa depannya bersama United selepas mengadakan sidang media bernada tajam yang memberi gambaran wujudnya keretakan hubungan di sebalik tabir di Old Trafford.

Amorim sebelum ini membayangkan rasa kecewa yang semakin memuncak menjelang pertemuan dengan Leeds apabila enggan menjelaskan kenyataannya berhubung perancangan perpindahan kelab.

Namun, dia lebih terbuka apabila ditanya sama ada masih mendapat kepercayaan penuh lembaga pengarah.

“Pertama sekali, saya perasan anda semua menerima maklumat mengenai pelbagai perkara. Saya datang ke sini sebagai pengurus Manchester United, bukan sekadar jurulatih Manchester United. Itu jelas.

“Saya tahu nama saya bukan (Thomas) Tuchel, bukan (Antonio) Conte dan bukan (Jose) Mourinho, tetapi saya adalah pengurus Manchester United.

“Keadaan ini akan berterusan selama 18 bulan atau sehingga lembaga pengarah membuat keputusan untuk berubah. Itulah maksud saya.

“Saya mahu akhiri perkara ini. Saya tidak akan meletak jawatan. Saya akan terus menjalankan tugas sehingga ada individu lain datang menggantikan saya,” kata Amorim.

Laporan sebelum ini mendakwa ketua pengambilan pemain United, Christopher Vivell, meminta Amorim menyesuaikan pendekatan taktikalnya selepas pengurus Fulham, Marco Silva, memberi penjelasan terperinci mengenai perancangan pasukannya untuk mengekang United ketika kedua-dua pasukan seri pada Ogos.

Amorim mengubah sistem pertahanan tiga pemain kegemarannya ketika mencatat kemenangan ke atas Newcastle, sebelum kembali menggunakan formasi pilihan itu dalam keputusan seri mengecewakan menentang Wolves dan Leeds.

Jurulatih berusia 40 tahun itu juga dikatakan berdepan perbezaan pandangan dengan pihak kelab berhubung sasaran perpindahan, di tengah-tengah laporan ketegangan hubungan dengan pengarah bola sepak United, Jason Wilcox.

Amorim yang menggantikan Erik ten Hag pada November 2024, dan diumumkan ketika itu sebagai ketua jurulatih bukannya pengurus, membuat rujukan jelas terhadap jawatan disandangnya ketika berusaha mendapatkan pengaruh lebih besar dalam struktur kuasa kelab.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top