Manchester: Pengurus sementara Chelsea, Calum McFarlane, meluahkan rasa bangga selepas pasukannya mencatat keputusan seri dramatik 1-1 menentang Manchester City awal pagi tadi, menamatkan minggu yang penuh bergelora apabila kelab berpisah dengan Enzo Maresca tiga hari sebelum itu.
Jurulatih bawah-21 Chelsea itu terus diuji selepas Maresca meninggalkan jawatan secara mengejut berikutan prestasi buruk pada Hari Tahun Baru, dengan debut yang mencabar menantinya menentang City.
“Banyak perubahan berlaku. Enzo sangat berjaya dengan kumpulan ini. Ada pemain yang terkejut dengan keputusan itu.
“Tetapi semangat yang mereka tunjukkan dalam dua hari terakhir, dan hari ini … semua orang fikir kami akan kalah. Tiada siapa jangka kami ada peluang, tetapi kami tahu karakter dan bakat dalam kumpulan ini,” kata McFarlane.
McFarlane, yang menikmati peranan sebagai ketua jurulatih pada Ahad dan menyifatkannya sebagai “impian yang menjadi kenyataan”, masih belum pasti tentang masa depannya.
“Kami akan menjalani latihan esok. Jadi, melainkan saya diberitahu sebaliknya malam ini, saya akan memimpin sesi itu.
“Fokus utama saya sudah tentu pada perlawanan ini. Sehingga saya diberitahu sebaliknya, saya akan mengetuai pasukan,” katanya.
Pada mulanya, McFarlane diberitahu dia hanya akan mengetuai pasukan untuk pertemuan menentang City, dengan kemungkinan pengurus baharu tiba pada Isnin.
“Sudah tentu, sekarang hari Ahad. Kami tertumpu sepenuhnya pada perlawanan, jadi saya pasti akan mendapat maklumat lanjut selepas sidang media ini. Tetapi setakat yang saya tahu, pengurus baru mungkin tiba tidak lama lagi, dan saya akan memimpin pasukan sehingga dia hadir,” katanya.
Dalam perlawanan yang tegang itu, City melepaskan beberapa peluang di Stadium Etihad namun Chelsea berjaya mengekang asakan.
McFarlane berasa bangga dengan ketahanan pasukannya, yang membuahkan hasil apabila Enzo Fernandez menjaringkan gol pada masa kecederaan.
Beliau memuji kapten Reece James, Tosin Adarabioyo dan Fernandez atas semangat kepimpinan yang ditunjukkan sepanjang minggu ini.
James turut berkongsi rasa bangganya, memuji kakitangan dan pemain senior yang menstabilkan pasukan.
“Bermain menentang Manchester City di tempat lawan sebagai perlawanan pertama pasukan utama memang sukar. Kami terpaksa menyesuaikan diri dengan cepat.
“Kami perlu berdiri teguh sebagai satu unit. Kami satu pasukan. Ramai pemain terlepas hari ini, tetapi ramai yang lain tampil membantu. Kami berjuang sebagai satu pasukan dan saya bangga dengan rakan-rakan,” katanya.
Beliau menambah mengenai pemergian mengejut Maresca: “Sudah tentu ia sukar, tetapi kami perlu berjuang untuk satu sama lain. Kami bertahan dan berjaya mendapatkan satu mata.”
McFarlane pula berkata salah satu momen terbaik hari itu adalah peluang mengemudi pasukan menentang Pep Guardiola.
© New Straits Times Press (M) Bhd




