London: Charles Leclerc memberikan perspektif tegas kepada Kimi Antonelli selepas pemandu baru Mercedes itu dikecam teruk dalam talian berikutan kesilapan lewat perlumbaan di Qatar insiden yang diputarbelitkan sesetengah pihak dalam media sosial seolah-olah satu konspirasi.
Antonelli, 19, yang sedang menjalani musim pertamanya bersama Mercedes, tersilap pada saat-saat akhir di Lusail dan melepaskan kedudukan penting kepada Lando Norris.
Kesilapan itu sepatutnya cukup untuk ditamatkan di situ. Namun, ia dijadikan bahan spekulasi berniat jahat, mendakwa Antonelli sengaja melepaskan kedudukan untuk membantu Norris dalam perebutan kejuaraan, memandangkan enjin Mercedes digunakan McLaren.
Tiada bukti menyokong dakwaan itu, tetapi naratif itu dibesarkan selepas kenyataan Helmut Marko pasca perlumbaan bahawa kesilapan itu kelihatan disengajakan.
Red Bull kemudian memohon maaf, menyifatkan kenyataan itu “jelas tidak tepat”, dan kedudukan Marko dalam pasukan difahamkan turut terjejas.
Sebelum itu lagi, jurutera perlumbaan Max Verstappen, Gianpiero Lambiase, turut menyatakan perkara sama melalui radio semasa perlumbaan, namun kemudian memohon maaf secara peribadi kepada Mercedes selepas tamat perlumbaan.
Namun, kesan dalam talian menjadi tidak terkawal. Antonelli menukar gambar profilnya dan tidak membuat catatan biasa selepas perlumbaan, sementara Mercedes melaporkan skala kecaman termasuk ancaman bunuh kepada FIA.
Leclerc tidak berselindung di Abu Dhabi. “Ini tidak boleh diterima,” kata pemandu Ferrari itu.
“Orang-orang ini tidak menghadapi sebarang akibat terhadap kata-kata dan kurang ajar mereka terhadap pemandu. Kami semua di sini cuba lakukan yang terbaik… kadang-kadang berlaku kesilapan. Dalam kes ini, kebencian yang diterima tiada asas sama sekali.”
Leclerc juga memahami realiti pemandu baru. “Apabila anda berada di tahun pertama atau kedua di F1, kadang-kadang anda melihat media sosial… itu menjadikan keadaan lebih sukar. Dengan pengalaman, anda mula terbiasa, tetapi kita sepatutnya tidak perlu terbiasa dengan perkara sebegini. Saya harap suatu hari nanti isu ini ditangani dengan betul.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




