Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my
Gambar Mohd Amin Jalil
Rembau : “Saya tidak menyangka kami kehilangan seorang ahli keluarga yang baik secara mengejut dalam sekelip mata,” kata Aina Zulaikha Zahrain, 22, kakak sulung kepada Nur Ain Zulaisya Zahrain, 19, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 1 Jalan Chengkau-Panchang-Lubok Cina, dekat sini, semalam.
Aina Zulaikha berkata, Nur Ain Zulaisya selalu berkomunikasi dengan keluarga terutama ibu sebaik dia memulakan pengajian di UiTM setahun lalu melalui telefon, namun pada semalam (hari kejadian) arwah tidak sempat menghubungi kami.
“Pagi semalam, emak (Ayuzana Zahari, 40) saya ada hantar gambar tapi difahamkan arwah tidak sempat nak lihat. Kami tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan mungkin dia sibuk.
“Tapi petang semalam, kami menerima berita mengejut bahawa dia terbabit dengan kemalangan. Kami dimaklumkan kejadian itu berlaku ketika dia bersama seorang kawan menaiki motosikal.
“Saya dan ahli keluarga sedih kerana kehilangan adik yang baik, banyak tolong keluarga, dia paling banyak beri sokongan dan membantu keluarga,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Rembau di sini, hari ini.
Menurutnya, arwah adiknya itu bercita-cita untuk seorang pengacara profesional dan sering diberikan tugas mengacara sesuatu majlis dan berhasrat untuk melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas menamatkan peringkat diploma di UiTM Rembau.
“Daripada sekolah menengah dia aktif, memang minat dalam bidang media dan pengacara ini,” katanya yang memaklumkan arwah adiknya dibawa ke Manjung Perak untuk pengebumian.
Sementara itu, Ismail Salamon, 53, bapa kepada Ismawanie Husna Ismail, 19, seorang lagi mangsa insiden itu berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu ada hubunginya pada malam tahun baharu tetapi sekadar bertanya khabar.
Beliau berkata, bagaimanapun sejak pagi Sabtu lalu, keadaan hatinya rasa berdebar-debar secara tiba-tiba, bagai petanda perkara buruk akan berlaku dalam keluarganya.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu kerana arwah menetap bersama ibunya di Seri Menanti.
“Menjelang Asar semalam (kelmarin), ada orang sampaikan maklumat anak saya kemalangan dan dah tak ada, saya tanya anak yang mana satu, mereka bagi tahu Husna (Ismawanie Husna)..seluruh tubuh saya jadi lemah,” katanya yang kini menetap di Felda Bukit Rokan Utara.
Ismail berkata, arwah anaknya itu dikebumikan di Seri Menanti, Kuala Pilah, lewat petang ini.
Sementara itu, rakan kedua-dua mangsa berkenaan, Nurmarsyriena Muhd Khairul Rozikin, 19, berkata, dari Manjung Perak, mereka adalah kawan rapatnya sepanjang di UiTM, namun Nur Ain Zulaisya lebih erat kerana bersama sejak sekolah menengah maahad di Manjung.
“Saya terkejut dengan kejadian yang berlaku, malah tidak terfikir dua kawan baik sudah tiada. Arwah Husna banyak termenung sejak beberapa hari ini, tapi saya tak mengesyaki sesuatu.
“Kedua-dua rakan ini sememangnya baik kerana kami sering berkongsi kerja rumah dan memang erat sepanjang berada di UiTM Rembau.
“Saya sangat terkejut dengan kehilangan rakan yang sebaik ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, maut apabila motosikal mereka dipercayai terbabas sendiri lalu melanggar besi penghadang di Kilometer (KM) 1 Jalan Chengkau-Panchang-Lubok Cina, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain, berkata dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu, Ismawanie Husna Ismail dan Nur Ain Zulaisya Zahrain, kedua-duanya berusia 19 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan pada bahagian kepala.
“Hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika kedua-dua pelajar Diploma Pengurusan Maklumat serta Diploma Komunikasi dan Media itu sedang dalam perjalanan dari arah UiTM Rembau menghala ke Pekan Lubok Cina. Keadaan cuaca dilaporkan baik ketika itu.
“Setiba di jalan selekoh, motosikal Yamaha NVX yang ditunggang Ismawanie Husna dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




