97 pusat panggilan penipuan dalam talian tumpas, 1,070 ditahan

97 pusat panggilan penipuan dalam talian tumpas, 1,070 ditahan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 97 sindiket pusat panggilan bagi penipuan dalam talian berjaya ditumpaskan sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ia hasil beberapa operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJK Bukit Aman melaksanakan beberapa operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan sindiket itu yang menyasarkan mangsa di dalam dan luar negara.

Katanya, dalam tempoh itu juga 1,070 individu ditahan yang membabitkan 600 warga tempatan manakala 470 warga asing.

“Turut dirampas, 2,845 unit peralatan telekomunikasi yang digunakan untuk menghubungi mangsa, selain wang tunai berjumlah RM5,067,818.

“Kesemua tangkapan dibuat di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur membabitkan premis kediaman yang dijadikan pusat operasi haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, siasatan awal mendapati kesemua individu yang ditahan adalah pekerja sindiket dan terbabit dalam pelbagai modus operandi penipuan, termasuk penipuan tawaran pekerjaan, pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud serta aktiviti penipuan lain yang menyasarkan mangsa, termasuk warganegara asing.

“Kesemua tangkapan telah didakwa di mahkamah atas kesalahan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan penipuan dalam talian, serta kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 berkaitan pelanggaran dokumen perjalanan membabitkan warga asing.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiatkan operasi secara berterusan bagi memastikan sindiket penipuan dalam talian dapat dibanteras sepenuhnya.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” katanya.

Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top