'Timbalan Pendakwa Raya' perdaya pesara hingga rugi lebih RM600,000

'Timbalan Pendakwa Raya' perdaya pesara hingga rugi lebih RM600,000

am@hmetro.com.my

Marang: Pesara kerajaan kerugian RM658,520 selepas ‘diperangkap’ sindiket penipuan yang menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 68 tahun, mendakwa diperdaya selepas menerima panggilan telefon daripada suspek yang bermula pada 8 Disember lalu.

“Suspek menyamar pegawai polis, mendakwa mangsa terlibat aktiviti pengubahan wang haram serta rasuah, dan keesokan harinya dia terima satu lagi panggilan telefon daripada individu mendakwa Timbalan Pendakwa Raya.

“Mangsa diarah melapor diri lima kali sehari melalui aplikasi WhatsApp, membuka satu akaun bank baharu dan memindahkan kesemua wang daripada akuan sedia ada ke akaun baharu itu kononnya untuk siasatan.

“Mangsa menurut arahan dan membuka akaun baharu serta memindahkan kesemua wang simpanannya pada 14 Disember lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sofian berkata, mangsa kemudian menyerahkan semua maklumat perbankan dan peribadi kepada Timbalan Pendakwa Raya itu selain mengikut semua arahan diberikan termasuk memadam mesej perbualan di WhatsApp.

Katanya, lelaki itu hanya menyedari ditipu selepas semakan terhadap akaun bank yang dibuat pada 4 Januari menunjukkan baki simpanan kurang mendadak dan terdapat 19 transaksi mencurigakan.

“Laporan polis dibuat untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top