Bangkok: Seorang pempengaruh warga China mendakwa ‘diumpan’ untuk ke Kemboja dengan tawaran pekerjaan bergaji tinggi oleh teman lelakinya, namun berakhir dengan hidup sebagai gelandangan di negara itu.
Menurut kenyataan Kedutaan China di Phnom Penh semalam yang dilapor Khmer Times, wanita digelar Umi yang mempunyai kira-kira 58,000 pengikut media sosial telah ditemui dalam keadaan yang hampir tidak menyerupai imej glamornya di dalam talian.
Kes itu bermula dengan kehilangan Umi, 20-an, yang menjadi topik bualan hangat di China.
Umi dilapor memberitahu keluarganya bahawa dia akan ke Kemboja selepas dipelawa teman lelaki warga China yang menetap di sana.
Lelaki itu menjanjikan pekerjaan bergaji lumayan kepada Umi dan mahu mereka membina kehidupan bersama yang lebih makmur.
Namun selepas 26 hari tidak berhubung dengan keluarganya, Umi ditemui di tepi jalan di Kemboja dan kelihatan seperti tiada tempat tinggal.
Dia memegang filem X-ray yang memperlihatkan kecederaan pada kaki dengan tanda serangan jelas dan kelihatan seperti orang hilang arah dan tidak teratur.
Seorang warga China di kawasan itu yang menemui Umi dikatakan tampil membantu wanita berkenaan.
Terdahulu, keluarga Umi meminta bantuan Kedutaan China di Phnom Penh untuk mengesan keberadaan wanita itu dan atas tindakan pantas, Pejabat Konsular di bandar Sihanoukville, Kemboja akhirnya menemukan Umi pada 3 Januari lalu di sebuah hospital.
Dia dilapor berada dalam keadaan kesihatan yang teruk dan pegawai mengambil tindakan memindahkan Umi ke hospital lain untuk rawatan segera serta memaklumkan wanita itu akan dihantar pulang sebaik keadaannya stabil.
Sebelum diuji sedemikian, wanita dikenali dengan nama keluarga Wu itu terkenal sebagai gadis yang mempamer gaya hidup mewah di media sosial dan dikatakan pernah bekerja di kelab mewah di wilayah Fujian, China.
Pada awal Disember lalu, dia didakwa membuat siaran langsung dan berkongsi di media sosial mengenai teman lelakinya yang bekerja di Kemboja mengundang dia untuk berhijrah ke negara berkenaan.
Dia juga dengan bangga bercerita bahawa kekasihnya itu mempunyai perniagaan besar, bahkan serius dalam hubungan mereka serta mahu mereka hidup bersama.
Walaupun diberi amaran oleh orang sekeliling dan peminatnya berhubung risiko yang boleh berlaku, Umi dikatakan tetap ke Kemboja. Gambar terkininya yang tular mengejutkan pengguna media sosial, dengan rata-ratanya tidak dapat membayangkan kesukaran dialami wanita itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




