am@hmetro.com.my
Pendang: “Sepanjang bertugas sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), ini kali pertama saya menangkap ular tedung selar yang besar dan sangat agresif.
“Reptilia itu memandang tepat ke arah saya ketika saya berhadapannya ketika hendak menangkapnya cuma ia tidak mengembangkan kepalanya. Keadaan itu sangat mencabar, silap langkah boleh hilang nyawa, ” kata Koperal (PA) Mohamad Syukri Ahmad, 30.
Mohamad Syukri menceritakan pengalaman menjalankan operasi khidmat khas menangkap ular tedung selar atau ‘King Cobra’ sepanjang hampir empat meter (m) di tapak tinggalan rumah lama di Kediaman Mesra Rakyat, Kampung Dato Syed Ahmad, di sini, petang semalam.
Menurutnya, ular tedung selar itu ditemukan di bawah atap zink dan disedari penduduk kampung iaitu lelaki berusia 30-an yang tinggal bersebelahan tapak rumah lama itu.
“Berdasarkan pengalaman saya selama 11 tahun bertugas dalam APM, ular tedung selar itu dipercayai baru bersalin kulit kerana nampak kulitnya masih baharu.
“Ketika saya dan beberapa cuba untuk menangkapnya, ia menyelinap di kawasan yang agak sukar dan keluar balik sebelum kami cuba mengawalnya supaya ia tidak lari, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan ular itu pada 6.27 petang semalam.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan APM Pendang melakukan pemeriksaan dan mendapati ular tedung selar berkenaan masih berada di sekitar perkarangan rumah terbabit.
“Berikutan itu, anggota APM bertindak menggunakan peralatan khas bagi menangkap ular tedung selar berkenaan.
“Operasi penyelamatan selesai pada 6.54 petang tanpa membabitkan sebarang kecederaan pada anggota, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




