Tiga negeri gaji tinggi

Tiga negeri gaji tinggi

MEMASUKI tahun 2026, landskap pasaran kerja dan peta gaji di Malaysia semakin memperlihatkan realiti bahawa tidak semua negeri bergerak pada kelajuan yang sama.

Pertumbuhan ekonomi berterusan, kemunculan teknologi baharu dan kemasukan pelaburan berskala besar telah membentuk persekitaran pekerjaan yang semakin kompetitif, di mana tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadi aset paling bernilai.

Sektor bernilai tambah tinggi seperti perkhidmatan profesional, kewangan, teknologi digital serta pembuatan berteknologi maju kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, manakala permintaan terhadap kemahiran khusus terus meningkat.

Analisis pasaran oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan bahawa peluang pekerjaan baharu dijangka berkembang seiring pelaburan besar di beberapa negeri, menjadikan persaingan untuk pekerjaan berkemahiran tinggi lebih sengit.

Dalam konteks ini, negeri yang berjaya menyesuaikan tenaga kerja dengan keperluan industri akan terus menarik bakat serta menawarkan gaji yang lebih kompetitif, manakala negeri lain berisiko ketinggalan jika tidak membangunkan ekosistem kemahiran yang bersesuaian.

Sementara itu, data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang kekal mencatat gaji median sektor formal tertinggi.

Kuala Lumpur merekodkan gaji median sebanyak RM4,064 sebulan, diikuti Selangor (RM3,145) dan Pulau Pinang (RM2,927), jauh melepasi median nasional RM2,864. Struktur ekonomi negeri-negeri ini yang tertumpu kepada sektor bernilai tambah tinggi menjadi faktor utama perbezaan gaji tersebut.

Namun, pertumbuhan peluang pekerjaan kini tidak lagi terhad kepada Lembah Klang. Johor dan Kedah semakin menyerlah hasil pelaburan besar, manakala Sarawak dijangka menerima lonjakan ketara dalam sektor tenaga dan ekonomi hijau.

Menurut Ahli Ekonomi dari Centre for Future Studies Berhad (THE FUTURE), Nur Azreen Mokhyi, tahap gaji yang ditawarkan tidak hanya bergantung kepada bilangan peluang kerja, tetapi juga pada kualiti dan kemahiran tenaga kerja.

Nur Azreen

Nur Azreen

“Perbezaan gaji antara negeri lebih banyak dipengaruhi oleh struktur ekonomi dan produktiviti tenaga kerja, bukan semata-mata faktor lokasi.

“Negeri yang tertumpu kepada perkhidmatan profesional, teknologi dan industri maju biasanya menawarkan gaji lebih tinggi. Tenaga kerja yang berkemahiran khusus dan fleksibel dalam menyesuaikan diri dengan teknologi baharu juga berpotensi menerima gaji yang lebih baik.

“Selain itu, syarikat besar dan firma yang terlibat dalam rantaian nilai global mampu menawarkan gaji lebih tinggi secara mampan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Nur Azreen, bagi tahun 2026, sektor pemacu gaji dan pekerjaan di beberapa negeri berbeza mengikut kekuatan masing-masing.

Kuala Lumpur dan Selangor misalnya menumpukan kepada perkhidmatan profesional, kewangan dan digital; Pulau Pinang dan Kedah dalam elektrik & elektronik (E&E), semikonduktor dan automasi; Johor dalam pembuatan bernilai tambah dan logistik manakala Sarawak menumpu tenaga dan ekonomi hijau.

Semua sektor ini menuntut tenaga kerja berkemahiran tinggi, fleksibel dan produktif.

Pada masa sama, beliau berkata bagi mengurangkan ketidakseimbangan kemahiran dan peluang antara negeri memerlukan penyelarasan kemahiran dengan keperluan industri bukan sekadar menambah bilangan graduan.

“TVET, latihan jangka pendek berasaskan industri, latihan di tempat kerja dan pengiktirafan kemahiran bukan formal menjadi mekanisme utama untuk meningkatkan kebolehpasaran dan mobiliti kerjaya.

“Pendekatan ini membolehkan pekerja di kawasan kurang membangun mengakses pekerjaan berkualiti tanpa perlu melalui laluan akademik konvensional yang panjang.

“Selain itu, peningkatan produktiviti firma tempatan melalui penggunaan teknologi dan penambahbaikan proses turut menyokong majikan menawarkan gaji lebih tinggi,” katanya.

Menurut beliau, jika produktiviti meningkat, peningkatan gaji berlaku secara mampan sekali gus menjadikan negeri lebih menarik tanpa bergantung sepenuhnya kepada pelaburan besar.

Sebaliknya, negeri yang kurang menarik pelaburan perlu membina daya saing melalui pembangunan tenaga kerja produktif dan relevan.

Nur Azreen turut menekankan, jurang gaji yang melebar akan menyebabkan tenaga kerja muda dan berkemahiran tinggi akan terus tertumpu di beberapa negeri sahaja, ini meningkatkan tekanan terhadap kos sara hidup, perumahan dan infrastruktur awam di kawasan tumpuan.

Dalam jangka panjang, ketidakseimbangan ini juga boleh menjejaskan daya tahan ekonomi nasional dan pertumbuhan yang lebih inklusif.

Menariknya, Kedah dan Sarawak berpotensi menjadi ‘dark horse’ pada 2026, Kedah melalui pelaburan dalam sektor E&E manakala Sarawak memanfaatkan kelebihan strategik sektor tenaga dan ekonomi hijau.

“Namun, kejayaan sebenar bergantung kepada sejauh mana pelaburan diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, peningkatan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja tempatan,” katanya.

Tegas Nur Azreen, negeri yang menawarkan pekerjaan dan gaji lebih baik pada 2026 adalah negeri yang berjaya membina ekosistem kemahiran, produktiviti dan mobiliti gaji, bukan sekadar menarik pelaburan besar.

“Kebolehan tenaga kerja memperoleh, mengguna dan menaik taraf kemahiran termasuk melalui pembelajaran fleksibel dan pengalaman kerja menjadi kunci utama kepada peluang pekerjaan dan gaji yang lebih baik di seluruh negara,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Pasaran kerja dan peta gaji di Malaysia menunjukkan perbezaan kelajuan pertumbuhan ekonomi dan teknologi antara negeri
  • Sektor bernilai tambah tinggi seperti perkhidmatan profesional, kewangan, dan teknologi digital menjadi pemacu utama pertumbuhan pekerjaan
  • Peluang pekerjaan baharu dijangka berkembang sejajar dengan pelaburan berskala besar, meningkatkan persaingan untuk pekerjaan berkemahiran tinggi
  • Kuala Lumpur, Selangor, dan Pulau Pinang mencatat gaji median tertinggi berbanding negeri lain disebabkan ekonomi yang tertumpu pada sektor bernilai tambah
  • Meningkatnya produktiviti dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi adalah kunci utama untuk menawarkan gaji yang lebih kompetitif
Scroll to Top