am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu : Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris kekal sebagai wakil rakyat walaupun disabit kesalahan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan didenda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN) Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, Razali tidak hilang kelayakan sebagai ADUN walaupun Mahkamah Sesyen mensabitkan kesalahan dan didenda RM2,000.
“Razali yang juga EXCO kerajaan negeri kekal sebagai ADUN dan tiada keperluan untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Nor yang juga ADUN Bukit Payong berkata, Razali hanya akan hilang kelayakan jika mahkamah menjatuhi hukuman penjara melebihi 12 bulan atau denda melebihi RM2,000.
Katanya, Razali hanya dikenakan denda tidak lebih RM2,000 dan tidak dijatuhi hukuman penjara seperti termaktub Perkara 48, Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan hukuman dijatuhi ke atas Razali, tiada kekosongan kerusi DUN Kijal dan tiada keperluan untuk diadakan PRK,” katanya.
Mohd Nor berkata demikian ketika mengulas laporan dimuatnaik melalui pelbagai laman sosial mendakwa kerusi DUN Kijal kosong dan PRK perlu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,Isnin lalu.
Razali, 59, yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri didapati bersalah kerana mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera pilihan raya pada PRK Kemaman, di Padang Astaka Chukai, Kemaman, antara jam 9.30 malam dan hingga 11.30 malam, pada 10 November 2023.
Razali didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b), Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




