Polis rakam keterangan lapan saksi isu pemalsuan dokumen pemain warisan HM

Polis rakam keterangan lapan saksi isu pemalsuan dokumen pemain warisan HM

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis merakam lapan keterangan saksi berhubung dakwaan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya (HM) susulan laporan dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima 45 laporan berhubung dakwaan isu berkenaan, setakat ini.

“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan setakat ini lapan rakaman percakapan juga sudah diambil untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan ringkas di sini, hari ini.

Pada 24 Disember lalu media melaporkan, FAM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan HM.

Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan tindakan itu dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top