Isu saman Abdul Kadir, saya percaya berani kerana benar – Aliff Syukri

Isu saman Abdul Kadir, saya percaya berani kerana benar – Aliff Syukri

KUALA LUMPUR: Selebriti dan usahawan terkemuka, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman,39,mengakui terkejut dengan situasi yang sedang dihadapinya susulan isu dakwaan fitnah melibatkan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Menurut Aliff, dia tidak menyangka Abdul Kadir nekad meneruskan saman terhadapnya selain mengakui selama ini telah berusaha keras mencari rezeki secara halal demi menyara keluarga dan perniagaannya.

“Sejujurnya saya sangat terkejut dengan apa yang berlaku. Selama ini saya penat bekerja, bersusah payah mencari rezeki halal, namun inilah balasan yang saya terima,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, Aliff menegaskan, dia juga selama ini sangat menghormati  Abdul Kadir sebagai seorang tokoh veteran dan bekas ahli politik yang berusia serta disegani ramai.

“Saya menghormati dan mengagungkan beliau. Namun, jika ini sudah ditakdirkan untuk saya lalui, saya akan teruskan dan berjuang. Saya percaya berani kerana benar dan saya reda,” ujarnya.

Isu berkenaan timbul selepas Aliff sebelum ini didakwa mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan Tan Sri Abdul Kadir sebagai ‘samseng Hollywood’, ‘kaki botol’ dan ‘kaki perempuan’, sekali gus mencetuskan kecaman dalam kalangan masyarakat.

Kes tersebut terus menjadi perhatian orang ramai dan mengundang pelbagai reaksi, khususnya dalam kalangan warganet yang menuntut agar semua pihak lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, terutama melibatkan nama baik tokoh negara.

Terdahulu, semalam, Abdul Kadir, 86, hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi keterangan dalam kes samannya terhadap Aliff Syukri di hadapan Hakim, Roslan Mat Nor.

Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu berkata, hantaran yang dibuat penyanyi lagu raya kontroversi terbabit turut memberi impak negatif terhadap dirinya selaku seorang bekas veteran UMNO yang berkecimpung dalam arena politik selama 30 tahun.

Bekas Menteri Penerangan dari tahun 2004 hingga 2006 berkata, Aliff Syukri selaku defendan didakwa menyunting gambarnya, duduk di sebelah seorang penyanyi terkenal malah memaparkan segelas arak, dalam Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia yang dihadiri pada 23 Julai 2023.

Abdul Kadir, yang memfailkan saman pada 6 September 2023 berkata, Aliff yang turut terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut yang ramai dalam platform media sosial iaitu Facebook, Instagram dan lain-lain didakwa telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook miliknya pada 2 Julai 2023.

Selain itu, Aliff juga didakwa telah membuat satu kenyataan yang membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit.

Disebabkan itu, plaintif menuntut antaranya defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah, selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.

 

Scroll to Top