redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya tak pernah sangka akan terjebak dalam dunia ‘content creator’ (pencipta kandungan) ini namun bersyukur kerana hasil pendapatan di situ sedikit sebanyak membantu saya menyara keluarga terutama seorang anak autistik.”
Itu kata Kapten (Bersara) Hamon Raeiz Abd Hamed, 40, atau dikenali Raeiz Hamed ketika menceritakan kisahnya yang pernah 14 tahun bertugas di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) namun kini terjebak sebagai pencipta kandungan dan pempengaruh di TikTok.
Bercerita lanjut, Raeiz yang juga bapa lima anak berkata, selepas bersara, dia pernah bertugas selama dua tahun sebagai pengurus bahagian kawalan dan keselamatan di sebuah syarikat swasta serta pengawal peribadi.
Bagaimanapun, dia kemudian berhenti pada 2020 dan kemudiannya mencari rezeki sebagai jurulatih kecergasan sepenuh masa secara dalam talian selepas mengikuti kursus kejurulatihan.
Pada masa sama, dia aktif berkongsi video di YouTube bermula 2014 iaitu ketika berkhidmat dengan TUDM sebelum ‘terjun’ di TikTok hingga terjebak sebagai pencipta kandungan.
“Ikutkan suka-suka saja kongsi pengalaman menerusi perkongsian video di YouTube untuk beri kefahaman mengenai perkara tertentu dalam ketenteraan juga kecergasan.
“Tak sangka, perkongsian itu meraih jumlah tontonan tinggi hingga dapat kiriman emel daripada Google yang saya layak terima bayaran.
“Tapi dalam sekitar tiga tahun lalu, isteri cadangkan saya luaskan perkongsian ke TikTok kerana baginya, bukan semua menonton video saya di YouTube. Jadi itulah permulaannya hingga teruskan sampai sekarang,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Raeiz mengakui bidang ketenteraan dan pencipta kandungan adalah dua dunia yang berbeza.
Bagaimanapun, Raeiz bersyukur kerana jalan dipilih sekarang masih memberi peluang untuknya berbakti kepada masyarakat menerusi bimbingan dalam bidang kecergasan.
“Tak dinafikan, bila sudah dikenali ini kena lebih menjaga diri namun sekarang, saya ada lebih banyak peluang bantu masyarakat sebagai jurulatih kecergasan.
“Sejak awal lagi, saya beri bimbingan secara dalam talian dan ramai juga warga emas yang mengikuti kelas saya,” katanya yang pernah mendapat perhatian selepas tampil dalam persalinan tradisional dengan bertanjak dan bersampin ketika mengikuti kejohanan Hyrox.
Berkongsi hala tujunya, Raeiz berkata, dia akan teruskan apa yang dilakukan ketika ini dan matlamatnya adalah memanfaatkan ilmu yang ada dalam memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kepentingan gaya hidup sihat.
“Kalau boleh, saya nak gunakan ilmu dan medium yang ada untuk bantu lebih ramai orang Malaysia dengan harapan dapat kurangkan bilangan mereka yang obesiti di negara ini.
“Saya pun nak gerakkan lagi komuniti sukan di negara ini supaya lebih aktif selain didik lagi orang ramai mengenai kecergasan dan bidang ketenteraan walaupun sudah bersara.
“Selain itu, tumpuan saya tentunya kepada keluarga terutama anak istimewa dan emak saya yang tinggal bersama,” katanya yang juga jurulatih Hyrox bertauliah dan sudah memberi bimbingan gaya hidup sihat dari rumah kepada 45,000 individu sejak enam tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




