mohamadridzuan@hmetro.com.my
Ampang: Pelakon Datuk Zaharudin Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Den Wahab, 63, bersimpati dengan keadaan sahabatnya, Isma Aliff pada akhir hayatnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Den yang bersekolah dengan Isma di Sekolah Menengah Ampang Boys (Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang) sekitar 1980-an, berkata, Allahyarham menjalani kehidupan secara bersendirian dan ia sesuatu yang menyedihkan.
“Saya kerap juga hubungi dia untuk tawarkan bantuan tapi dia positif dengan kehidupan serba kekurangan yang dilaluinya tanpa mahu menyusahkan sesiapa.
“Apabila bertemu dengannya, hati memang sayu kerana dia tinggal seorang diri. Sebelum itu, dia menjaga ibunya sehingga akhir hayat. Selepas ibunya meninggal dunia, dia hidup bersendirian.
“Keadaannya pula tidak begitu kuat untuk berjalan. Bila saya bertanya bagaimana dia menguruskan diri, dia jawab dengan tenang, ‘Aku macam ni sajalah, Den. Aku reda. Setiap pagi aku buat senaman dekat pagar tu.
“Saya tanya pula bagaimana dia ke dapur dan makan. Katanya, semuanya dia buat sendiri, makan apa yang ada seperti mee segera dan telur,” katanya ditemui selepas pengebumian Allahyarham Isma Aliff di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, hari ini.
Selain satu sekolah, mereka juga pernah berlakon bersama-sama dalam sitkom Gado-Gado selama lima musim.
“Itu menambah keakraban kami kerana selalu berbincang pasal skrip. Jadi apabila dia sakit dan tinggal sendirian, saya selalu memikirkan keselamatannya.
“Dia tinggal seorang, dan terfikir juga, kalau apa-apa berlaku terjatuh di bilik air atau ketika ke dapur siapa yang akan tahu?
“Namun dia tetap tenang dan berkata, ‘Tak apa, aku reda saja, Den.’ Kami hanya mampu beri semangat dan kekuatan supaya dia terus bertahan, tetapi ketentuan Allah mengatasi segalanya,” kata Den Wahab yang sempat bertemu arwah kira-kira sebulan lalu.
Den turut berkongsi Isma meluahkan perasaan sedihnya dengan apa yang dilalui.
“Sebagai rakan, saya jadi pendengar yang setia dan memberi sokongan kepada arwah. Ada kala dia berkongsi cerita tentang kehidupannya.
“Kami hanya mampu memberi semangat dan sokongan. Kami mengingatkannya supaya terus kuat dan menghubungi kami jika perlukan apa-apa.
“Selepas ibunya meninggal dunia, dia masih tidur di sebelah katil ibunya. Ketika kami menziarahinya, katil arwah ibunya itu masih ada di sisi katilnya,” katanya.
Sementara itu, pelakon Rahim Jailani, 66, turut melahirkan perasaan kagum terhadap Allahyarham Isma yang tabah menjaga ibunya sebelum ibunya meninggal dunia pada 2024.
“Saya sangat-sangat mendoakan agar Allah memberikan dia tempat yang begitu selesa di syurga atas kebaikan yang dia pernah curahkan kepada Allahyarhamah ibunya.
“Yang itu saya rasa satu pengorbanan daripada seorang anak kepada ibunya yang ramai orang biasa mungkin susah nak lakukan.
“Walaupun dalam keadaan yang dia sendiri pun tak berapa sihat, dia tetap berkorban menjaga ibunya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
