CES 2026: MSI Umum Siri Prestige Terbaru Fokus Prestasi & Reka Bentuk | Oh! Gear – Oh! Media

CES 2026: MSI Umum Siri Prestige Terbaru Fokus Prestasi & Reka Bentuk | Oh! Gear – Oh! Media

MSI terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara jenama paling konsisten dalam inovasi laptop dengan memperkenalkan barisan produk baharu di Consumer Electronics Show (CES) 2026, yang merangkumi segmen profesional, produktiviti dan gaming berprestasi tinggi.

Kesemua model yang diperkenalkan hadir dengan rekaan baharu, sistem penyejukan dipertingkat serta susun atur I/O yang lebih praktikal, dikuasakan oleh Intel Core Ultra Series 3 dan grafik NVIDIA GeForce RTX generasi terkini bagi memenuhi keperluan pengguna moden yang semakin kompleks.

Siri Prestige Baharu: Laptop Kerja Yang Direka Semula Dari Asas

Ohmedia new Prestige Series ces Onsite

Siri Prestige menerima pembaharuan menyeluruh dengan bahasa rekaan baharu yang lebih moden, menampilkan lengkungan lembut, profil lebih nipis dan binaan aluminium penuh untuk rasa premium yang konsisten.

Fokus MSI bukan sekadar pada estetik, tetapi juga keseimbangan antara prestasi, ketahanan dan mobiliti. Dengan Intel Core Ultra Series 3 sebagai teras utama, siri ini menyasarkan profesional yang memerlukan prestasi AI, kecekapan tenaga dan pengalaman penggunaan yang lebih intuitif dalam satu peranti kerja.

Prestige 14 dan Prestige 16: Lebih Ringan, Lebih Tahan, Lebih Versatil

Prestige 14 dan Prestige 16 mencatat pengurangan berat ketara berbanding generasi terdahulu, masing-masing seberat 1.32kg dan 1.59kg, tanpa menjejaskan struktur binaan. Dengan bateri berkapasiti 81Wh, MSI menyatakan kedua-dua model ini mampu mencapai lebih 30 jam main balik video 1080p, membolehkan produktiviti berpanjangan merentasi beberapa hari kerja.

Grafik Intel Arc B390 yang diintegrasikan memberikan lonjakan prestasi visual yang ketara, bukan sahaja untuk kerja kreatif seperti penyuntingan video dan grafik, malah mencukupi untuk pengalaman gaming AAA secara kasual ketika bergerak.

Penyejukan Senyap Dengan Prestasi Konsisten

Untuk menyokong prestasi berterusan, MSI melengkapkan siri Prestige dengan sistem penyejukan vapor chamber, dwi-kipas dan rekaan Intra Flow yang dioptimumkan.

Sistem ini memastikan prestasi maksimum dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang sambil mengekalkan tahap bunyi di bawah 30 dBA, satu kelebihan penting bagi persekitaran kerja profesional yang memerlukan fokus tinggi dan operasi senyap.

Prestige Flip dan MSI Nano Pen: Produktiviti Yang Lebih Interaktif

Prestige 14 Flip dan 16 Flip membawa pengalaman 2-dalam-1 dengan paparan sentuh dan sokongan stylus, sesuai untuk pengguna yang memerlukan fleksibiliti kerja dan input kreatif.

MSI Nano Pen yang disertakan menawarkan slot simpanan terbina dalam serta pengecasan ultra pantas, di mana 15 saat pengecasan membolehkan penggunaan sehingga 45 minit. Kerjasama eksklusif MSI bersama Microsoft turut memperkenalkan fungsi Copilot press-to-talk, membolehkan input suara diaktifkan dengan mudah untuk interaksi AI yang lebih semula jadi.

Ciri ini diperkukuh dengan Action Touchpad baharu yang 53 peratus lebih besar serta sistem keselamatan bertaraf perusahaan termasuk TPM 2.0, Windows Hello dan Smart Guard berasaskan pengesanan kehadiran.

Paparan OLED Dan Keselamatan Bertaraf Perusahaan

Pengalaman penggunaan siri Prestige dipertingkat melalui paparan 2.8K OLED 120Hz dengan sokongan VRR dan pensijilan DisplayHDR True Black 1000, memberikan visual yang lebih tepat, kontras tinggi dan pergerakan yang lancar.

Dari sudut keselamatan, MSI memfokuskan keperluan perusahaan dengan integrasi pengecaman cap jari dan wajah, menjadikan siri ini sesuai untuk kegunaan korporat dan perniagaan berskala besar.

Prestige 13 AI+: Mobiliti Ekstrem Tanpa Kompromi Prestasi

Prestige 13 AI+ terus mengukuhkan reputasinya sebagai laptop ultra ringan apabila kini mencatat berat hanya 899 gram, menjadikannya laptop 13 inci magnesium-aluminium paling ringan di dunia.

Walaupun menekankan mobiliti, model ini tetap menawarkan prestasi profesional melalui Intel Core Ultra Series 3 serta ciri keselamatan lengkap, menyasarkan pengguna perniagaan yang sentiasa bergerak tetapi masih memerlukan kuasa pemprosesan yang konsisten.

Modern S Series: Reka Bentuk Premium Untuk Lebih Ramai Pengguna

Melalui pengenalan Modern 14S dan 16S, MSI membawa elemen rekaan premium ke segmen arus perdana. Model ini menampilkan penggunaan material logam yang lebih meluas, rekaan lebih kemas dan sokongan Intel Core Ultra Series 3 dengan slot memori dwi-saluran untuk fleksibiliti naik taraf.

Konfigurasi port yang lengkap merangkumi USB-A, USB-C dengan sokongan paparan dan pengecasan, HDMI, RJ-45 LAN serta pembaca kad Micro SD menjadikannya sesuai untuk multitasking harian dan kegunaan profesional asas.

Raider 16 Max HX: Mesin Gaming Paling Berkuasa Pernah Dihasilkan MSI

Raider 16 Max HX mencuri tumpuan sebagai laptop gaming pertama di dunia yang mampu menyalurkan sehingga 300W jumlah kuasa sistem.

Di bawah beban penuh, ia menyalurkan sehingga 175W kepada GPU RTX 5090 atau 5080 dan 125W kepada pemproses Intel Core Ultra 200HX. Bagi mengawal prestasi ekstrem ini, MSI memperkenalkan sistem penyejukan Cooler Boost Trinity dengan Intra Flow yang merangkumi tiga kipas, enam paip haba, lima liang ekzos dan bahan terma perubahan fasa. Reka bentuk panel bawah akses pantas turut memudahkan naik taraf memori DDR5 dan storan PCIe Gen5.

Paparan OLED 240Hz Untuk Gaming Dan Kreativiti

Raider 16 Max HX dilengkapi paparan 2.5K OLED 240Hz dengan pensijilan DisplayHDR True Black 1000 dan pensijilan SGS cahaya biru rendah.

Paparan ini bukan sahaja sesuai untuk gaming AAA berprestasi tinggi, malah menyokong kerja kreatif resolusi tinggi dengan ketepatan warna dan kadar segar semula yang pantas.

Stealth 16 AI+: Prestasi Tinggi Dalam Reka Bentuk Nipis

Ohmedia stealth 16 Ai

Stealth 16 AI+ mengekalkan identiti laptop nipis dan ringan dengan ketebalan hanya 16.6mm dan berat bawah 2kg, sambil menawarkan peningkatan prestasi berbanding generasi sebelumnya.

Sistem penyejukan Cooler Boost dengan Intra Flow membolehkan sehingga 20W tambahan disalurkan kepada GPU RTX 50 Series. Dengan bateri 90Wh dan konfigurasi port lengkap termasuk Thunderbolt 4 dan HDMI 2.1, model ini direka untuk pengguna yang memerlukan prestasi tinggi dalam rekaan profesional.

Crosshair Series: Kuasa Gaming Dengan Identiti Visual Lebih Berani

Crosshair 16 Max HX dan Crosshair 16 HX menawarkan peningkatan kuasa sehingga 200W jumlah sistem, disokong oleh sistem penyejukan Cooler Boost dan rekaan ekzos empat ventilasi.

Paparan QHD+ OLED 165Hz membolehkan pengalaman gaming yang lebih lancar dan imersif, manakala susun atur port baharu di bahagian belakang memudahkan pengurusan kabel. Papan kekunci RGB 24-zon melengkapkan identiti visual Crosshair yang lebih ekspresif.

Claw 8 AI+ Glacier Blue Edition: Konsol Mudah Alih Dengan Sentuhan Estetika Baharu

Ohmedia claw New Color void Purple  Glacier Blue ces Onsite

Claw 8 AI+ Glacier Blue Edition hadir dengan kemasan biru ais berlapis yang memberikan kedalaman visual serta identiti esports yang lebih menyerlah. Walaupun menampilkan rekaan baharu, model ini mengekalkan spesifikasi teras Claw 8 AI+ dengan Intel Core Ultra 200V dan grafik Arc Xe2, memastikan prestasi konsol mudah alih kekal pada tahap perdana.

MSI Reka Produk Khusus Keperluan Pengguna

Ohmedia family 3840x2160

Pelancaran di CES 2026 menunjukkan MSI kini lebih jelas dalam menyusun strategi produknya, dengan setiap siri direka khusus mengikut keperluan pengguna profesional, pencipta kandungan dan gamer.

Gabungan prestasi AI, kejuruteraan terma dan rekaan premium menjadikan barisan baharu ini bukan sekadar kemas kini tahunan, tetapi satu penanda aras baharu dalam landskap laptop moden.

Untuk lebih produk info layari: https://www.msi.com/.

author avatar

Mastura adalah Ketua Penulis Editorial sepenuh masa di Oh! Media, pakar dalam menyampaikan artikel pemasaran dengan gaya yang santai namun penuh informasi, memastikan setiap kandungan mudah difahami dan relevan untuk pembaca.

Scroll to Top