Reformasi menyeluruh PMKS fokus daya saing dan jenama tempatan

Reformasi menyeluruh PMKS fokus daya saing dan jenama tempatan

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan memberi komitmen penuh untuk memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pendekatan reformasi menyeluruh, susulan tekanan persaingan global dan perubahan landskap geoekonomi dunia yang semakin mencabar.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkata, selepas dua tahun memberi tumpuan kepada kebajikan pekerja termasuk peningkatan gaji median antara 10 hingga 13 peratus serta peluasan perlindungan keselamatan sosial termasuk pekerja gig, beliau kini diberi mandat baharu untuk memastikan kelangsungan dan daya saing golongan usahawan.

“Gaji median bulanan negara kini melepasi RM3,000 buat kali pertama.

“Apabila gaji naik, kuasa beli meningkat dan akhirnya memberi manfaat kepada perniagaan,” katanya dalam ucapan sulung beliau sebagai Menteri KUSKOP pada acara perasmian Malaysia Brand Day 2026 di sini, semalam.

Katanya, Malaysia kini berdepan dua cabaran geoekonomi global utama iaitu persaingan langsung daripada kuasa besar ekonomi seperti China yang kini menjual terus kepada pengguna tempatan serta gelombang perlindungan ekonomi melampau dari negara Barat yang mula memindahkan operasi pulang ke negara asal.

“Pendekatan perniagaan seperti biasa tidak lagi relevan. Jika kita terus berpegang kepada cara lama, lebih banyak perniagaan akan terpaksa gulung tikar,” katanya.

Namun, beliau berkata Malaysia memiliki kelebihan strategik tersendiri kerana terletak di tengah-tengah tiga zon kuasa ekonomi dunia iaitu ‘Greater Bay Area China di Timur’, Silicon Valley di Barat, serta laluan perdagangan utama ‘Bay of Bengal’ di rantau ini.

Dalam konteks itu, Steven Sim menekankan keperluan peralihan daripada model ekonomi ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’ dengan fokus kepada pembinaan nilai dan jenama, bukan sekadar menjadi pusat kos.

“Sudah tiba masanya perniagaan tempatan beralih daripada ‘cost center’ kepada ‘value center’, kerana kita bukan sekadar bina produk, tetapi bina jenama,” katanya.

Bagi merealisasikan agenda itu, KUSKOP memperkenalkan Strategi ABCD sebagai fokus utama kementerian untuk tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Strategi itu merangkumi A (Accelerate Productivity, mempercepat produktiviti melalui automasi, digitalisasi dan pembangunan bakat), B (Bureaucracy Reduction, pengurangan kerenah birokrasi), C (Capital Accessibility, memperluas akses pembiayaan) dan D (Develop Market Access, membangunkan akses pasaran termasuk melalui GLC dan syarikat besar).

Sebagai langkah awal, katanya Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa inisiatif utama dalam Ucapan Tahun Baharu 2026, termasuk tambahan RM2.5 bilion pembiayaan PMKS dengan separuh diperuntukkan kepada syarikat yang sebelum ini tidak pernah menerima pembiayaan.

Kerajaan juga komited menyelesaikan bayaran balik lebihan cukai sepanjang 2026 bagi memperbaiki aliran tunai perniagaan, selain melaksanakan kadar sifar SST untuk PMKS baharu dan syarikat dengan jualan di bawah RM1.5 juta serta pengurangan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 8.0 peratus kepada 6.0 peratus bagi syarikat lain.

Selain itu, peruntukan hampir RM10 bilion setahun melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluas kepada 10,000 perniagaan kecil, manakala RM2.4 bilion disediakan bagi projek infrastruktur kecil melibatkan kontraktor PMKS.

“Ini bukan penyelesaian semua masalah, tetapi isyarat jelas bahawa kerajaan faham kesakitan PMKS dan serius mahu membantu mereka bukan sekadar bertahan, tetapi menembusi tahap seterusnya,” katanya.

Beliau optimis 2026 akan menjadi titik perubahan penting untuk melonjakkan perniagaan tempatan ke tahap lebih berdaya saing dan mampan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top