Video api sahaja, tapi jana RM4 juta

Video api sahaja, tapi jana RM4 juta

Bucharest: Sebuah video bertajuk ‘Fireplace 10 hours full HD’ yang memaparkan rakaman pendiangan api selama 10 jam berjaya mencatatkan lebih 157 juta tontonan dalam tempoh kurang sedekad, lapor OddityCentral.

Walaupun rakaman itu hanya menunjukkan kayu api yang marak berserta bunyi percikan api yang menenangkan, ia dianggarkan sudah menjana pendapatan melebihi AS$1 juta (kira-kira RM4.42 juta).

Sejak dimuat naik pada 2016, video berkenaan sudah diaktifkan fungsi pengiklanan (monetized), menjadikannya antara kandungan paling menguntungkan di platform YouTube tanpa suntingan drastik.

YouTube sebenarnya dipenuhi dengan klip video berdurasi panjang yang sering dirakam secara berulang untuk dimainkan sebagai latar belakang tanpa gangguan oleh pengguna.

Kebanyakan pencipta kandungan biasanya memuat naik pelbagai video serupa bagi memaksimumkan pendapatan. Namun, situasi bagi saluran ‘Fireplace 10 Hours’.

Saluran berkenaan hanya mempunyai satu hantaran dalam tempoh 10 tahun, menjadikan pencapaian memperoleh hasil iklan berjuta-juta ringgit sesuatu yang luar biasa.

Keadaan saluran yang hanya mempunyai satu video itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan mengenai pihak yang berhak menerima hasil pengiklanan.

Beberapa pihak mendakwa YouTube mungkin mengambil kesemua hasil iklan kerana saluran itu tidak mematuhi syarat Program Rakan Kongsi YouTube yang memerlukan sekurang-kurangnya tiga hantaran.

Bagaimanapun, peraturan berkenaan baru saja dikuatkuasakan pada 2023, manakala saluran ini ditubuhkan sejak 2016 dan tidak sepatutnya tertakluk kepada syarat terbaharu itu.

Pencapaian video pendiangan api ini membuktikan bahawa kandungan yang berjaya tidak semestinya memerlukan idea baharu yang luar biasa atau khidmat penyunting profesional.

Pencipta kandungan juga tidak perlu membuat hantaran setiap hari untuk berjaya selagi kandungan yang dihasilkan mampu memenuhi keperluan penonton.

Setakat ini, video terbabit terus menjadi pilihan pengguna yang mahukan suasana tenang di kediaman masing-masing tanpa perlu memikirkan kos penghasilan yang tinggi.

Katanya, kunci utama kejayaan kandungan digital adalah dengan memberikan apa yang dicari oleh audiens walaupun ia hanya sebuah rakaman ringkas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top