lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil peluang pada waktu senggang ketika ini untuk melakukan pelbagai pekerjaan sambilan, sementara menanti keputusan peperiksaan yang dijangka diumumkan pada April depan.
Rata-rata mereka yang pada masa ini sudah berusia 18 tahun memberitahu, langkah itu bertujuan mencari duit poket sendiri selain mengumpul wang bagi membayar yuran pengajian, sekali gus meringankan beban ibu bapa masing-masing.
Muhammad Amirul Hafiz Zairul Aswadi, 18, berkata, dia kini bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai ‘bundle’ di Wangsa Maju sejak kira-kira empat bulan lalu.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati itu berkata, keputusan bekerja sementara dibuat bagi membolehkannya mempunyai pendapatan sendiri selain menyimpan wang sebagai persediaan melanjutkan pelajaran.
“Sementara menunggu keputusan SPM, saya rasa lebih baik bekerja.
“Sekurang-kurangnya boleh cari duit poket sendiri dan simpan sedikit untuk sambung belajar nanti,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, hari ini.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, langkah berkenaan secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban keluarga memandangkan ibunya seorang suri rumah, manakala bapanya bekerja sebagai pentadbir awam.
Muhammad Amirul Hafiz berkata, dia bercadang melanjutkan pengajian di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dalam bidang Pengurusan Sukan sekiranya memperoleh keputusan SPM yang baik.
“Saya berminat dalam bidang pengurusan sukan kerana kakak saya pernah belajar di KPTM dan ada senior yang ambil kursus sama berkongsi pengalaman.
“Fokus utama saya kini adalah untuk menyambung pengajian terlebih dahulu sebelum menentukan hala tuju kerjaya yang sesuai dalam bidang diminati.
“Harapnya nanti saya dapat bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengurusan sukan,” katanya.
Bagi Muhammad Haikal Rija Ludin, 18, pula, keputusan bekerja sambilan dibuat atas rasa tanggungjawab untuk membantu keluarga.
Anak tunggal itu berkata, dia mula bekerja sejak Disember lalu selepas tamat persekolahan di SMK Seri Keramat dan kini memasuki bulan kedua bekerja sambilan.
Dia yang menetap di Kampung Pasir, dekat Ampang berkata, bapanya bekerja sebagai buruh binaan manakala ibunya suri rumah, justeru dia tidak mahu membebankan keluarga sementara menunggu keputusan SPM.
“Saya kerja untuk bantu keluarga. Sekurang-kurangnya boleh tolong mak ayah dari segi duit belanja.
“Sementara tunggu keputusan, eloklah saya bekerja dulu. Dapat juga duit poket sendiri.
“Selain itu, ini juga menjadi pengalaman bekerja pertama saya,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Muhammad Haikal mengakui masih belum membuat keputusan sama ada untuk menyambung pengajian atau terus bekerja.
“Buat masa ini belum fikir lagi. Tengok dulu keputusan nanti macam mana.
“Jika ada rezeki dan keputusan baik, mungkin sambung belajar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




