am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Kakitangan awam kerugian RM150,000 selepas simpanan peribadi dan wang pinjaman daripada bank lesap kerana diperdaya sindiket ‘phone scam.’
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa wanita berusia 43 tahun membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 1.42 petang semalam.
Menurutnya, mangsa dihubungi sindiket phone scam dengan menyamar sebagai ejen insuran dan memberitahu maklumat diri mangsa sudah disalah guna.
Katanya, sindiket kemudian meminta mangsa membuat aduan kepada pihak polis dan panggilan disambungkan kepada individu mengakui sebagai pegawai polis.
“Mangsa seterusnya diberitahu kononnya terbabit dengan kegiatan jenayah penggubahan wang haram dan akan ditahan.
“Untuk tujuan menafikan perkara berkenaan mangsa mengikuti arahan membuka akaun baharu atas nama mangsa dan kemudian memasukkan wang yang dibuat melalui pinjaman bank ke dalam akaun itu,” katanya.
Beliau berkata, ketika membuka akaun baharu, mangsa menggunakan maklumat yang diberikan pihak scammer dipercayai memindahkan wang dari akaun mangsa ke dalam akaun yang tidak diketahui.
Katanya, taktik memperdayakan itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM150,000.
Menurutnya, sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan peribadi dan pinjaman daripada bank selain kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




