PUTRAJAYA: Susulan rungutan ibu bapa berhubung pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) agak lewat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berusaha untuk mengagihkan bantuan itu lebih awal bermula tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pihaknya mengambil serius saranan pelbagai pihak terutama ibu bapa supaya memudahkan persiapan untuk memasuki sesi persekolahan baharu.
“Kebetulan tahun ini baru memulakan sesi persekolahan pada Januari, jadi memang ada sedikit rungutan yang kita terima.
“Saya ingat mulai tahun hadapan akan terus perbaiki dan saranan itu kita ambil secara serius. Maknanya diberikan lebih awal supaya persiapan boleh dilakukan lebih awal,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun 2026, di sini hari ini.
BAP merupakan bantuan tunai secara sekali bayar berjumlah RM150 diberikan kepada 5.2 juta murid bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan.
Fadhlina berharap ibu bapa dan penjaga meluangkan masa untuk ke sekolah mengambil BAP sambil berjumpa guru bagi mendapatkan laporan serta saranan berkaitan perkembangan akademik dan sahsiah anak.
Ia susulan penyaluran bantuan akan kembali dibuat secara serahan tunai di sekolah melalui program pertemuan antara guru dengan ibu bapa.
Pendekatan ini bukan sahaja memastikan penyampaian yang lebih berkesan, malah bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara guru, murid dan ibu bapa.
“Saya harap ibu bapa ambil bantuan RM150 ini untuk keperluan sekolah dan datang ke sekolah ambil bantuan serta berjumpa dengan guru untuk mendengar laporan dan juga saranan mengenai anak-anak kita,” jelas beliau.
Sebelum ini, sebahagian ibu bapa menyuarakan kebimbangan apabila bantuan berkenaan hanya diterima selepas sesi persekolahan bermula sedangkan kos awal seperti pakaian seragam, kasut, buku dan peralatan sekolah perlu disediakan lebih awal.
Sementara itu mengulas mengenai jangkaan peningkatan tambang bas sekolah, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Saya akan bawa dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri mengenai perkara ini dan keperihatinan itu untuk kita melihat secara keseluruhannya,” katanya.
Terdahulu, Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia menjangkakan berlakunya kenaikan tambang bas sekolah susulan peningkatan kos operasi seperti insurans, gaji pemandu dan alat ganti kenderaan.
Presidennya Amali Munif Rahmat berkata sebarang kenaikan bergantung sepenuhnya kepada keputusan pengusaha bas sekolah kerana pada 2015 kerajaan memutuskan untuk tidak kawal selia atau tetap had siling tambang. – UTUSAN



