KARAWANG – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mendakwa, sebahagian individu yang sering mengkritik, mengejek dan memfitnah prestasi kerajaan pimpinannya berkemungkinan dibayar oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Beliau menyuarakan pandangan itu ketika berucap pada Majlis Penuaian Raya serta pengumuman kejayaan Pangan Makanan Nasional 2025 di Cilebar, Karawang pada Rabu.
“Jangan-jangan mereka ini dibayar,” kata Prabowo dalam ucapannya.
Menurut beliau, golongan yang kerap mengkritik kerajaan seolah-olah menafikan sebarang pencapaian negara, termasuk kejayaan atlet Indonesia di peringkat antarabangsa.
Katanya, kejayaan anak bangsa negara itu langsung tidak mendapat penghargaan daripada kelompok berkenaan.
“Mereka tidak mengucapkan tahniah, tidak menghargai usaha kerajaan,” ujar beliau.
Prabowo turut menyatakan, kebimbangannya terhadap sikap segelintir individu yang terus-menerus menghina kerajaan, malah menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang ganjil dari sudut kesihatan mental.
Namun, beliau menegaskan tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut.
“Biarlah, kami tidak mahu ambil peduli. Mereka hanya lantang di media sosial, tidak jelas hala tuju,” katanya.
Presiden Indonesia itu berkata, fokus utama beliau bersama barisan Kabinet adalah untuk menjamin masa depan negara, khususnya dalam aspek keselamatan makanan.
“Saya mahu dikenang sebagai Presiden yang berjaya menurunkan harga makanan, harga baja dan harga benih demi rakyat,” katanya.- Agensi
Ringkasan AI
- Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mendakwa individu yang mengkritik kerajaan mungkin dibayar oleh pihak tidak bertanggungjawab
- Prabowo menyatakan pandangan tersebut semasa Majlis Penuaian Raya di Karawang
- Menurut Prabowo, pengkritik sering menafikan pencapaian negara dan tidak menghargai kejayaan atlet Indonesia
- Prabowo menyifatkan sikap menghina kerajaan sebagai ganjil dari sudut kesihatan mental
- Fokus utama Prabowo adalah menjamin masa depan negara, terutama dalam aspek keselamatan makanan



