GEORGE TOWN : Kerajaan negeri bersetuju untuk meneruskan bayaran insentif secara ‘one-off’ sebanyak RM600 kepada pemandu teksi serta pengusaha bas sekolah yang layak dan berdaftar di Pulau Pinang bagi tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, penyaluran insentif itu yang mula dilaksanakan sejak 2013 bagaimanapun tertakluk kepada pematuhan semua syarat yang ditetapkan seperti sebelum ini.
Beliau berkata, bagi tahun 2026, bayaran tunai sebanyak RM600 itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun penerima melalui kaedah Electronic Fund Transfer (EFT) dengan pembayaran pertama dijangka dilaksanakan pada Mac depan, bergantung kepada jumlah permohonan yang diterima.
“Secara keseluruhannya iaitu sejak diperkenalkan (2013) sehingga tahun lepas, sebanyak RM18.32 juta insentif (bayaran) telah disalurkan kepada pemandu teksi serta pengusaha bas sekolah yang layak,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, permohonan untuk mendapatkan bantuan itu boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu mengemukakan sebarang borang atau dokumen fizikal.
“Antara syarat yang ditetapkan ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia, berdaftar sebagai pengundi di Pulau Pinang, berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan memiliki kad pemandu yang sah.
“Selain itu, pemohon juga wajib menjalankan perkhidmatan di Pulau Pinang sahaja serta berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS),” katanya yang memberitahu, syarat lain boleh dilayari menerusi laman sesawang iSejahtera di https://isejahtera.penang.gov.my/syarat.php.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemohon yang layak agar segera mengemas kini maklumat dan dokumen wajib melalui portal i-Sejahtera atau mendapatkan bantuan tersebut melalui mana-mana pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pusat penyelaras Kadun jika menghadapi masalah berkaitan permohonan.
“Kerajaan negeri berharap agar bantuan dalam bentuk bayaran insentif itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung golongan berkenaan selain memastikan perkhidmatan teksi dan bas sekolah di Pulau Pinang terus berada pada tahap terbaik demi keselesaan pengguna,” katanya.-UTUSAN




