Tragedi mahu goreng ikan selar, rumah warga emas terbakar

Tragedi mahu goreng ikan selar, rumah warga emas terbakar

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Niat seorang isteri menyediakan makan tengah hari bertukar tragedi apabila rumah didiami pasangan warga emas itu hampir musnah dalam kebakaran di Kampung Solok Dekat, Pengkalan Balak, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 1.48 tengah hari itu, Ramli Hasan, 68, nyaris kehilangan isteri tercinta apabila api dipercayai berpunca daripada dapur gas ketika wanita itu sedang bersiap untuk menggoreng ikan selar.

Ramli seorang pesara tentera berkata, isterinya, Bainah Nordin, 67, berada seorang diri di rumah ketika kejadian kerana dia keluar menunaikan solat Zohor di masjid berhampiran.

Menurutnya, sebelum keluar, isteri beritahu mahu menggoreng ikan namun tidak menyangka, setibanya dia di rumah api sudah marak

“Ketika itu isteri masih di dalam rumah dan dia cuba memadamkan kebakaran.

“Saya panik, jerit panggil nama dia berkali-kali supaya keluar mujur anak saudara yang tinggal berdekatan cepat bertindak dan berjaya menariknya keluar,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui hari ini.

Menurut Ramli, api dipercayai menyambar dengan pantas sebelum isterinya sempat memasukkan ikan ke dalam kuali, menyebabkan kebakaran merebak dan memusnahkan hampir keseluruhan rumah separuh kekal berkenaan.

“Lebih 85 peratus rumah habis terbakar dan segala harta benda musnah.

“Namun bersyukur Allah masih panjangkan nyawa kami berdua,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal dan operasi pemadaman membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.13 petang dan operasi ditamatkan pada jam 3.46 petang.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Masjid Al-Jawahir membuka Rayuan Derma Kilat bagi membantu pasangan warga emas berkenaan yang kini kehilangan tempat tinggal serta keperluan asas.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank milik mangsa 154101136236 (Ramli Hasan).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top