PETALING JAYA: MBSB Bank meneruskan komitmennya terhadap pembangunan komuniti berpendapatan rendah apabila melanjutkan Program Tuisyen Pusat Interaktif Belia PPR Hicom bagi tahun ini, susulan peningkatan akademik yang memberangsangkan dalam kalangan pelajar yang terlibat.
Program yang dilaksanakan di bawah inisiatif Santuni MADANI, Satu Kampung Satu Pemimpin anjuran Pejabat Perdana Menteri itu merupakan sebahagian daripada pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBSB Bank dalam memperkasa pendidikan serta mobiliti sosial jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, inisiatif itu bukan sekadar bantuan bersifat jangka pendek, sebaliknya membentuk ekosistem sokongan pendidikan yang berstruktur dan mampan.
“Pencapaian yang dicapai membuktikan bahawa apabila sokongan diberikan secara konsisten dan terarah, pelajar mampu mengubah hala tuju kehidupan mereka. MBSB komited untuk terus bersama komuniti ini dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.
Pusat Interaktif Belia PPR Hicom berperanan sebagai hab pembelajaran komuniti yang menyediakan persekitaran selamat dan kondusif untuk anak-anak komuniti, selain menjadi platform pelaksanaan pelbagai program pendidikan dan kepimpinan yang selari dengan Kerangka CSR MBSB Bank.
Sebagai rakan pelaksana strategik, Adab Youth Garage (AYG) menguruskan pelbagai inisiatif di pusat tersebut, termasuk Kelab Kerja Rumah, bimbingan kaunseling, kelas mengaji, Adab Youth Camp, program SPM Fighter, projek pemakanan sihat serta kelas tuisyen bagi mata pelajaran teras seperti Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak diperkenalkan hampir setahun lalu, program tuisyen itu mencatatkan impak positif apabila 21 daripada 27 pelajar menunjukkan peningkatan akademik yang ketara, khususnya dalam subjek teras.
“Pencapaian tersebut didorong oleh kehadiran konsisten, bimbingan berstruktur serta sokongan padu ibu bapa, sekali gus membuktikan keberkesanan intervensi pembelajaran berasaskan komuniti.
“Berikutan kejayaan tersebut, MBSB Bank akan meneruskan program berkenaan sepanjang 2026 dengan sokongan utama menerusi sumbangan zakat, khususnya bagi membantu pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Dalam usaha mengurangkan jurang pembelajaran dan akses kepada kemudahan pendidikan, MBSB Bank turut menyalurkan lima unit komputer riba kepada pelajar terpilih, saguhati tunai RM500 kepada 21 pelajar yang mencatat peningkatan akademik, serta sebuah mesin pencetak untuk kegunaan bersama di pusat berkenaan.
Inisiatif berkenaan menyokong aspirasi Santuni MADANI untuk memperkasa komuniti, memperluas akses pendidikan dan membantu golongan memerlukan melalui pendekatan berfokuskan komuniti, selain menyumbang kepada pembinaan modal insan yang berdaya saing dan berdaya tahan. –UTUSAN




