Malpac Holdings dinyahsenarai pada 13 Januari

Malpac Holdings dinyahsenarai pada 13 Januari

PETALING JAYA: Firma pembrokeran saham Malpac Holdings Bhd atau nama kod bursa, (MALPAC) dijadual untuk dinyahsenarai pada 13 Januari ini selepas lebih tiga dekad berada di bursa tempatan.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan bahawa Bursa Securities telah menolak rayuannya untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mengemukakan pelan penstrukturan semula.

“Malpac telah mengemukakan permohonan lanjutan selama setahun pada 24 November 2025, hanya beberapa hari sebelum tarikh akhir 28 November. 

“Susulan kegagalan memenuhi tarikh akhir pada 28 November 2025, Bursa Securities menggantung dagangan sekuriti Malpac pada 9 Disember lalu,” katanya kepada Bursa Malaysia.

Keputusan mengenai tarikh nyahsenarai sebelum ini ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan lanjutan masa tersebut.

Dengan penolakan rayuan berkenaan, tempoh 35 tahun Malpac sebagai syarikat tersenarai awam kini berakhir.

Malpac bermula sebagai firma pembrokeran saham dan disenaraikan di Pasaran Utama pada Disember 1990. 

Pada 2001, kumpulan itu melupuskan perniagaan pembrokerannya bagi beralih tumpuan kepada aset perladangan kelapa sawit.

Namun, masalah bermula susulan perjanjian pada 2002 untuk menjual ladang kelapa sawitnya di Teluk Intan, Perak.

Urus niaga tersebut kemudiannya terjerumus dalam pertikaian undang-undang berpanjangan, sekali gus menghalang syarikat daripada mengiktiraf sebarang hasil daripada aset berkenaan.

Akibatnya, Malpac merekodkan sifar hasil sejak thun kewangan berakhir 31 Disember 2012. 

Ketiadaan aktiviti perniagaan teras menyebabkan syarikat itu diklasifikasikan sebagai “penerbit tersenarai terjejas” pada Februari 2020, yang mewajibkannya menstruktur semula kedudukan kewangan bagi mengekalkan status penyenaraian.

Saham Malpac kali terakhir didagangkan pada 72 sen, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM54 juta. 

Pada kemuncaknya pada era 1990-an, saham tersebut pernah diniagakan pada paras melebihi RM11. –UTUSAN

Scroll to Top