mohamadridzuan@hmetro.com.my
Bukan tidak mencuba, sebaliknya sudah melakukan pelbagai kaedah untuk mendapatkan zuriat, tetapi belum diberikan rezeki.
Begitu situasi dilalui pelakon Elizabeth Tan yang terlalu mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri dalam rumah tangganya.
“Kita sudah cuba dua tahun untuk dapat anak, tapi masih belum berjaya. Tak apalah, bukan rezeki saya sekarang kot? Saya tunggu sampai Tuhan cakap ya,” katanya.
Elizabeth atau Lizzy yang berkahwin dengan Dr Siew Jim Ding pada 21 Mac 2021 berkata, dia kini menetapkan sehingga Jun tahun ini untuk melihat sama ada dirinya mampu hamil atau sebaliknya.
“Sekiranya gagal juga, saya akan cuba menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF). Sebab tahun ini saya sudah umur 33 tahun. Saya macam tak nak tunggu lama sangat
“Jadi Jun ini saya akan buat IVF. Tempatnya pun saya dah kenal pasti. Untuk buat itu, saya kena rehat lama jugalah sebab kena suntik banyak hormon.
“Takut nanti kulit saya jadi teruk, berat badan naik. Kena tidur, jangan aktif, kena rehat saja tak boleh aktif,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran filem Black Ops, baru-baru ini.
Katanya, suaminya kini bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Tapah, Perak dan dia memastikan akan pergi bertemunya apabila ada kelapangan.
“Saya akan pergi sana dan dia pun ulang-alik datang KL, susah juga. Bulan depan dia akan balik terus ke sini. Jadi mungkin senang sikit. Sebelum ini berjauhan mungkin salah satu punca.
“Saya memang sukakan budak-budak dan nak anak sendiri. Ibu bapa kami sangat menyokong untuk kami dapat anak. Emak beli macam-macam suplemen untuk saya makan.
“Ubat-ubat tradisional Cina, jangan cakaplah. Ubat herba dan macam-macam lagi. Dalam sebulan beribu ringgit juga saya habis tapi tak berhasil pun. Akupuntur pun dah buat,” katanya.
Lizzy berkata, keinginannya untuk mendapat anak membuak-buak apabila melihat rakan-rakannya sudah mempunyai lebih daripada seorang anak.
“Kadang-kadang adalah juga rasa malu sikit, rasa macam kenapa badan saya tak boleh ada anak? Orang akan tanya soalan ini, tapi tak apa saya faham ini adalah kehidupan.
“Namun, saya bersyukur, tiada yang perli atau menyindir disebabkan benda ini. Semuanya menyokong,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




