am@hmetro.com.my
Bukit Kayu Hitam: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menolak kemasukan sembilan warga asing ke negara ini kerana tidak mematuhi peraturan ketika melalui Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, semalam.
Timbalan Komander Operasi AKPS Bukit Kayu Hitam, Noorazam Ahmad berkata, tujuh daripadanya adalah warganegara China yang membabitkan dua wanita dan lima lelaki berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an.
Beliau berkata, kesemua individu terbabit tidak dibenarkan masuk ke Malaysia kerana tidak mematuhi syarat kemasukan ke Malaysia serta gagal memberikan alasan dan tujuan kemasukan yang kukuh.
“Selain itu, seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat berusia dalam lingkungan 40-an turut ditolak kemasukan ke Malaysia kerana tidak mempunyai tempahan tiket pulang serta tidak memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.
“Seorang wanita warganegara Thailand berusia dalam lingkungan 30-an pula diberikan Notis Penolakan Masuk selepas didapati nama subjek tersenarai dalam senarai syak jabatan yang disenarai hitamkan daripada memasuki Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noorazam berkata, tiada sebarang rampasan dibuat dalam kes ini dan kesemua mereka diberikan Notis Penolakan Masuk dan diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama.
Beliau berkata, AKPS sentiasa komited dalam memastikan kawalan di pintu masuk negara berada pada tahap tertinggi serta tidak disalah gunakan mana-mana pihak bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




